Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: "Saya pernah hanyut suatu ketika dahulu apabila terjebak dalam penagihan dadah dan bergaul dengan kongsi gelap selain 'king pin' dadah sehingga akhirnya hilang kerja," kata peserta program Pensijilan Kompetensi Jurulatih Kepulihan yang hanya mahu dikenali sebagai Yan.

Berkongsi pengalaman hidupnya yang kini sudah pulih sepenuhnya daripada penagihan dadah, Yan, 43, berkata, semuanya bermula ketika dia masih berkhidmat di Jabatan Penjara Malaysia.

Pada awalnya, dia hanya ingin mencuba sesuatu yang baru selepas terpengaruh dengan rakan-rakan.

Menurutnya, dia terbabit dengan dadah selama belasan tahun dan ia merosakkan kehidupannya.

"Ketika itu, wang gaji tidak pernah cukup kerana dihabiskan untuk membeli dadah sehingga sampai satu tahap, saya berasa penat dengan keadaan sekeliling.

"Malah kerja saya juga terjejas apabila akhirnya dinasihatkan untuk berhenti," katanya ditemui pada Program Graduasi Jurulatih Pemulihan Bertauliah oleh Majlis Penyalahgunaan Dadah Malaysia (Masac) di sini, hari ini.

Yan yang kini bertugas di Persatuan Pengasih Malaysia (Pengasih) berkata, dia kemudiannya memohon bantuan ibunya untuk memasukkan ke pusat pemulihan.

"Ketika berada di Pengasih, saya tidak percaya akan pulih namun Alhamdulillah, saya kini sudah empat tahun pulih daripada menagih dadah.

MENTERI Tugas-tugas Khas, Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad (barisan tengah, lapan kiri) diiringi Naib Canselor USIM, Prof Datuk Dr Mohamed Ridza Wahiddin (barisan tengah, tujuh kiri) dan Presiden MASAC, Ahmad Lutfi Abdul Latiff (barisan tengah, sembilan kiri)bergambar bersama graduan Program Graduasi Jurulatih Pemulihan Bertauliah. FOTO Hairul Anuar Rahim
MENTERI Tugas-tugas Khas, Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad (barisan tengah, lapan kiri) diiringi Naib Canselor USIM, Prof Datuk Dr Mohamed Ridza Wahiddin (barisan tengah, tujuh kiri) dan Presiden MASAC, Ahmad Lutfi Abdul Latiff (barisan tengah, sembilan kiri)bergambar bersama graduan Program Graduasi Jurulatih Pemulihan Bertauliah. FOTO Hairul Anuar Rahim

"Pengasih juga banyak mengubah diri malah saya bertemu jodoh dengan isteri dan bakal bergelar bapa tidak lama lagi," katanya.

Selain itu, katanya, dia juga kini dapat membeli kereta dan rumah serta menjalani kehidupan yang lebih baik.

Sementara itu, seorang lagi peserta yang ingin dikenali sebagai Nik, 27, berkata, dia bersyukur dapat mengikuti program berkenaan yang kini mengubah hidupnya.

"Saya menyertai program ini tahun lalu. Kini, saya bertugas di Pengasih," katanya.

Nik berkata, dia mula terjebak dalam penagihan dadah ketika dibangku sekolah akibat pengaruh rakan-rakan.

"Niat pada mulanya ingin mencuba sebelum akhirnya saya terus terjebak sehingga gagal mengawal diri.

"Keadaan saya ketika itu agak teruk daripada segi emosi dan penampilan diri sebelum masuk ke pusat pemulihan pada 2018.

"Selepas ini, saya ingin bantu rakan-rakan di luar sana yang masih terjebak dengan dadah supaya mereka juga kembali pulih," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 January 2022 @ 1:19 PM