Suraya Roslan dan Yusmizal Dolah Aling


“BANTULAH kami untuk membina pusat penempatan yang lebih sempurna kepada penghuni. Di tempat baru nanti kami harapkan dapat menyediakan kemudahan lebih selesa. Dalam masa berbaki tak sampai setahun, kami perlu berpindah ke Cinta Manis Bentong.

“Setakat ini, apa yang ada cumalah bangunan. Kita perlukan surau bertaraf masjid dan klinik. Jadi saya mengharapkan sumbangan orang ramai untuk menampung jumlah yang masih diperlukan sebanyak RM8 juta untuk mengekalkan peranan Pengasih seperti mana 28 tahun dulu,” kata Presiden Persatuan Pengasih Malaysia (Pengasih) Ramli Abdul Samad.

Katanya, berdasarkan perbincangan bersama pemilik tanah Februari lalu, mereka ditawarkan satu skim pertukaran dengan sedikit pampasan untuk memulakan operasi di tempat baru berkenaan, namun kekangan dana menyebabkan dia runsing memikirkan bagaimana nasib penghuni nanti.

“Tempat baru kita di satu kawasan di Cinta Manis Bentong seluas 14 ekar dengan peruntukan sebanyak RM6 juta. Kita gunakan RM2 juta untuk membeli tanah dan bakinya untuk membangunkan sebuah kompleks rawatan dan pemulihan. Ia masih jauh daripada mencukupi,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya memerlukan dana dan sumbangan orang ramai untuk memindahkan pusat rawatan dan pemulihan di Jalan Syers Bukit Tunku, Kuala Lumpur ke Cinta Manis Bentong yang dijangka dipindahkan pada 2020.

“Apa yang ada di sini masih tidak lengkap. Banyak lagi ciri keselamatan yang perlu kami beri perhatian. Ia adalah soal membina kehidupan di sini, sama seperti orang lain di luar sana.

“Secara keseluruhan, kami memerlukan sebanyak RM8 juta untuk membina satu kompleks lengkap yang memuatkan 250 pesakit berbanding hanya 100 di sini. Kami menyeru syarikat dan individu untuk menyalurkan sumbangan untuk proses pembangunan tempat baru ini yang dijangka dipindahkan pada Jun tahun depan,” katanya.

Sebarang bantuan boleh dihulurkan ke Akaun Maybank Persatuan Pengasih Malaysia 014075323275.

Ramli berkata, biarpun sedih untuk meninggalkan Rumah Pengasih yang banyak berjasa kepada mereka yang memulakan hidup baru, penghuni tidak mempunyai pilihan selain berpindah dalam waktu ditetapkan.

“Sebagai antara pengasas rumah ini, saya secara peribadi berasa sayu. Inilah tempatnya lebih 10,000 yang dipulihkan, dapat kehidupan baru selepas terjebak dengan penyalahgunaan dadah. Lokasi pun begitu strategik kerana kita dekat dengan Hospital Kuala Lumpur (HKL) juga.

“Insya-Allah dengan bantuan masyarakat, kita harap dapat meneruskan apa yang sudah pun kita mulakan pada 1991, di tempat yang lebih selesa. Doakan yang terbaik,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Julai 2019 @ 2:56 PM
RUMAH Pengasih di Jalan Syers Bukit Tunku, Kuala Lumpur yang bakal berpindah ke Cinta Manis Bentong pada 2020. FOTO Aziah Azmee
RUMAH Pengasih di Jalan Syers Bukit Tunku, Kuala Lumpur yang bakal berpindah ke Cinta Manis Bentong pada 2020. FOTO Aziah Azmee