Syaherah Mustafa


SEORANG bekas penagih dadah membuktikan dia juga mampu menjadi usahawan berjaya hasil sokongan serta kepercayaan keluarga dan masyarakat yang membantunya untuk berubah.

Dia yang hanya mahu dikenali sebagai, Lan, 34, kini memiliki sebuah kedai makan, kedai runcit dan mengusahakan ayam proses segar selepas tiga tahun meninggalkan kehidupan yang diselubungi dadah.

Lan yang terjebak dengan najis dadah sejak usia 16 tahun akibat rasa ingin mencuba itu, meluahkan rasa bersyukur kerana diberi kelebihan ‘bijak’ berniaga selain mendapat kepercayaan keluarga dan pelanggan.

“Memandangkan saya bekas penagih yang pernah menghuni ‘tirai besi’ lapan kali akibat dadah dan jenayah, nama saya pasti disenarai hitam untuk memohon pekerjaan seperti orang lain.

“Menyedari hakikat itu, saya mengambil keputusan berniaga dan kini kedai makan saya mendapat kunjungan ramai pelanggan,” katanya ketika ditemui Di Rumah Lindungan Kasih, Kampung Kebakat, di Tumpat, baru-baru ini.

Seorang bekas penagih dadah, Lan bukan nama sebenar berusia 34 tahun (tengah) bersama rakannya menunai solat lima waktu di Rumah Lindungan Kasih, Kampung Kebakat, Tumpat. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Seorang bekas penagih dadah, Lan bukan nama sebenar berusia 34 tahun (tengah) bersama rakannya menunai solat lima waktu di Rumah Lindungan Kasih, Kampung Kebakat, Tumpat. FOTO Nik Abdullah Nik Omar

Rumah Lindungan Kasih menjadi penempatan untuk membantu penagih dadah yang mahu berubah, selain menyediakan khidmat kaunseling, didikan agama serta pelbagai kemahiran bagi membantu bekas penagih membina kehidupan yang lebih baik.

Lan kini diberi kepercayaan menjadi kakitangan yang bertanggungjawab menjaga penagih dadah di rumah lindungan terbabit supaya mereka juga dapat bertahan dan berubah sepertinya.

“Saya mengaku sepanjang tiga tahun ada masanya terasa ‘rindu’ kepada benda yang merosakkan diri saya ini, namun selepas mempelajari cara dan teknik mengawal rasa gian, Alhamdulillah saya boleh mengatasinya.

“Sebelum ini, saya banyak mengambil ubat batuk serta methamphetamine, termasuk beberapa jenis dadah yang lain.

“Sikit atau banyak ia diambil, apa yang saya boleh katakan, kesannya amat teruk, dadah membuatkan kita menjadi bukan diri kita sendiri,” katanya yang juga bapa kepada tiga cahaya mata berusia setahun sehingga 15 tahun hasil dua kali perkahwinan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Mac 2020 @ 11:12 AM