HAKIM (kiri) ditempatkan di Bilik Pemantauan di Rumah Lindungan Kasih, Persatuan Pengasih Malaysia Negeri Kelantan, di Wakaf Bahru. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
HAKIM (kiri) ditempatkan di Bilik Pemantauan di Rumah Lindungan Kasih, Persatuan Pengasih Malaysia Negeri Kelantan, di Wakaf Bahru. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Siti Rohana Idris


Tumpat: Mengakui terjebak dengan gejala dadah sejak di bangku sekolah rendah, Hakim, 18, (bukan nama sebenar) sudah empat kali dimasukkan ke rumah perlindungan akibat ketagihan air ketum, pil kuda dan pil Eramin 5.

Remaja berasal dari Tanah Merah itu kini nekad mahu berubah dan kini ditempatkan di bilik pemantauan di Rumah Lindungan Kasih, Persatuan Pengasih Malaysia Negeri Kelantan, di Wakaf Bahru, di sini.

Dia yang sudah berhenti sekolah sejak di Tingkatan Tiga mengakui bahawa sukar baginya untuk memulihkan ketagihan kerana sudah terjebak dengan pengambilan bahan terlarang itu sejak di sekolah rendah lagi.

"Saya memang ingin berubah kerana selain sayangkan masa depan sendiri, saya juga simpati kepada ibu bapa serta keluarga kerana tidak putus asa memberi sokongan supaya saya berubah malah sanggup berhabis wang menghantar saya ke sini.

"Doakan saya kuat untuk melawan rasa sakit (gian) dan mampu mengelakkan diri daripada terus terjerumus dalam kancah najis dadah sebaik keluar dari rumah Pengasih ini nanti," katanya.

Sementara itu, seorang lagi bekas penagih dadah, Faiz, 31, mengakui dalam tempoh pemulihan, emosinya tidak stabil, sukar tidur, kerap halusinasi malah kerap didatangi keinginan mahu melarikan diri dari rumah perlindungan itu.

Dia yang kini baharu empat bulan menjalani pemulihan di Rumah Lindungan Kasih, Persatuan Pengasih Malaysia Negeri Kelantan, di Wakaf Bahru, di sini, mengakui sentiasa berperang dengan diri sendiri selepas bergelumang dengan najis dadah sejak berusia 13 tahun.

Faiz berkata, latar belakangnya yang boleh dikategorikan daripada keluarga berada tidak mendatangkan kesukaran baginya untuk membeli bekalan syabu walaupun hanya berstatus pelajar ketika itu.

"Pada asalnya memang untuk mencuba tapi lama-kelamaan saya mengambil syabu untuk hilangkan tekanan belajar.

"Apabila sudah di alam pekerjaan dan mempunyai syarikat sendiri, bekalan syabu tidak pernah putus malah keluarga juga tidak mengetahui kegiatan ini sehinggalah saya ditahan polis," katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Faiz bagaimanapun berkata, dia nekad untuk berubah walaupun menanggung kesukaran akibat ketagihan yang adakalanya datang 'menggoda'.

Semalam, Ketua Polis Balai Wakaf Bharu, Sarjan Major Abd Halim Shafai hadir dan bertanya khabar kepada Faiz dan Hakim serta 11 penghuni yang sedang menerima rawatan pemulihan di Rumah Lindungan Kasih itu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Oktober 2020 @ 5:10 PM