WAN ketika ditemu ramah wartawan. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
WAN ketika ditemu ramah wartawan. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Syaherah Mustafa


“SAYA pernah makan sisa makanan yang diberi kepada kucing semata-mata nak simpan duit untuk beli dadah,” itulah pengakuan bekas penagih dadah yang mahu dikenali sebagai Wan, 20.

Menurut Wan, dia mengenali dadah ketika masih dibangku sekolah lagi iaitu ketika berusia 15 tahun.

“Ia akibat perasaan ingin mencuba dan terpengaruh ajakan rakan selain menyalah gunakan kebebasan yang diberi oleh ibu dan bapa. Saya sanggup menahan lapar kerana mahu menyimpan duit untuk membeli dadah.

“Saya boleh bertindak agresif dengan sesiapa sahaja kerana gian dan memerlukan dadah hampir setiap hari,” katanya.

Namun katanya semua berubah selepas dia dengan rela hati dibawa ke pusat pemulihan PENGASIH oleh keluarganya kerana tekad mahu berubah menjadi insan yang berguna.

“Alhamdulillah, biarpun baru dua bulan saya dapat bertahan dan membebaskan diri dari ‘najis’ dadah ini. Saya dapat merasakan ketenangan hidup dan rasa lebih berguna kepada diri sendiri.

“Banyak benda jahat yang saya lakukan sepanjang hampir enam tahun saya menjadi penagih. Malah, saya pernah menengking dan memukul ibu bapa saya sendiri kerana berang apabila dinasihati supaya menjauhi dadah,” katanya.

Dia berkata demikian ketika ditemui dalam Program Pendidikan dan Pembangunan Keluarga, Persatuan PENGASIH Malaysia Negeri Kelantan, di Rumah Lindungan Kasih, Kampung Kebakat, Tumpat di sini, semalam.

Program terbabit diadakan sebagai panduan, ilmu serta kemahiran pengendalian berkaitan isu ibu bapa, pencengahan tingkah laku menyeleweng dan penyalahgunaan dadah dalam ahli keluarga.

Wan berkata, dadah banyak merosakkan kehidupannya namun bersyukur kerana keluarga tidak pernah membuang dirinya malah sentiasa memberi sokongan supaya berubah.

“Dahulu, saya belajar di sebuah sekolah agama di Kota Bharu. Bukan sahaja bergelar pelajar cemerlang, malah memiliki sahsiah diri yang baik namun terjerumus dalam kancah dadah akibat menyalahgunakan kebebasan yang diberi keluarga.

“Malahan, keluarga saya dalam kalangan orang baik yang memberi didikan agama secukupnya namun disebabkan tindakan saya mencuba dadah akhirnya ia membinasakan diri selain memusnahkan kepercayaan keluarga kepada saya,” katanya.

Dia berharap individu lain mengambil iktibar terhadap apa yang berlaku kepada dirinya dan tidak mencuba dadah.

“Masyarakat pula perlu memberi sokongan dan bukan hanya mencerca semata-mata.

“Golongan seperti kami memerlukan dorongan dan kasih sayang daripada orang sekeliling untuk terus berubah,” katanya.

Wan turut berkongsi jenis dadah yang pernah diambilnya sebelum ini iaitu jenis methamphetamine dan Erimin 5 yang dibeli dengan harga RM15 sehingga RM20 sebiji.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 Februari 2020 @ 5:19 PM