Datuk Dr Noor Azmi Ghazali.
Datuk Dr Noor Azmi Ghazali.
Yusmizal Dolah Aling


Kuala Lumpur: Kerajaan perlu menambah lebih banyak dana bagi membiayai program pemulihan dadah yang diadakan di negara ini.

Ia bagi membolehkan usaha untuk memastikan penagih pulih sepenuhnya mencapai matlamat sekali gus menyediakan jalan keluar kepada isu penagihan dadah.

Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Dr Noor Azmi Ghazali berkata, ketika ini terdapat banyak pihak yang menyediakan khidmat pemulihan, namun kekurangan dana menyebabkan usaha itu hanya separuh jalan.

Katanya, sejumlah dana yang besar diperlukan daripada kerajaan untuk membiayai proses pemulihan mereka yang terjebak dengan penyalahgunaan dadah.

"Saya berpendapat kerajaan perlu menambah peruntukan yang diberikan kepada pihak seperti Rumah Pengasih Malaysia (Pengasih) dan badan bukan kerajaan lain kerana jumlah yang ada memang tidak cukup.

"Soal ini (peruntukan) antara yang saya sudah pun berbincang dengan menteri kerana masalah ini perlu perhatian banyak pihak.

"Selain itu isu stigma kepada bekas penagih ini juga perlu diubah. Masyarakat perlu mainkan peranan, jangan seorang saja penagih tapi riuh sekampung, sedangkan isu itu tidak selesai juga," katanya pada Majlis Buka Puasa bersama Pengasih di ibu negara, hari ini.

Hadir sama Presiden Pengasih Ramli Abdul Samad serta penyanyi Datuk Jamal Abdillah.

Ditanya mengenai situasi Covid-19 semasa, beliau berkata negara belum memasuki gelombang keempat, sebaliknya masih berada pada gelombang ketiga berdasarkan R-Naught.

"Kalau R-Naught berada di bawah 0.5, kita sudah selesai dan kalau ada lagi, ia akan masuk gelombang baru.

"Tetapi kita masih berada pada 1.5. Jadi saya harap seluruh masyarakat bersama-sama kerajaan dalam mebendung wabak ini kerana kita mesti menang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 April 2021 @ 8:26 PM