AMENG tidak kecil hati tanggapan orang, sebaliknya berusaha ubah kehidupan jadi lebih baik. - Amiruddin Sahib
AMENG tidak kecil hati tanggapan orang, sebaliknya berusaha ubah kehidupan jadi lebih baik. - Amiruddin Sahib
Ridzuan Abdul Rahman


TIDAK mudah melatah. Itu pendekatan diambil penyanyi, Ameng Spring apabila berdepan sikap segelintir pihak yang sering kali mempermainkan banduan dan bekas penagih sepertinya.

Ameng berkata, ketika menjayakan satu persembahan di Besut, Terengganu yang diiringi pemuzik dari Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) sebelum ini, dia terkejut apabila pengacaranya menamakan kumpulan mereka sebagai 'band dadah'.

"Ini bukan gurauan kerana mukanya serius. Pengacara cakap main lepas saja. Dia tak tahu nama band apa dan main sebut nama ini. Memang malu rasanya.

"Ia memang dikira kes naya juga. Kita pun bekas penagih, jadi memang malulah. Namun, apa yang dikatakan ada betulnya. Sebenarnya kita kena semak diri kita.

"Kita pernah buat salah. Jadi, kena terima benda ini. Parutnya takkan hilang. Apabila dah tercalar, parutnya tetap ada. Jadi, kena faham benda ini," katanya.

Menurutnya, dia tidak kecil hati atau apa-apa, sebaliknya menyesal terbabit dengan dadah.

"Sampai sekarang orang labelkan begini (negatif). Ini adalah kesalahan saya sendiri. Kita tak boleh salahkan orang sebenarnya. Ini yang saya selalu kongsi kepada bekas penagih.

"Kadang-kadang bekas penagih dan banduan malu nak kembali kepada masyarakat. Mereka tanya pendapat saya dan saya kata kena ketepikan pandangan orang.

"Yang penting kita betulkan diri kita. Kita buat untuk diri kita, bukan untuk orang. Kita nak selamatkan diri kita supaya kehidupan kita jadi lebih baik. Orang bercakap jangan ambil peduli. Sebab kita nak tutup mulut orang memang tak boleh," katanya.

Penyanyi lagu popular Sampai Hati berkata, dalam kalangan masyarakat juga, ada yang suka dan ada yang tidak suka dengan orang lain.

"Yang tidak suka ini kalau basuh macam mana pun tetap tak suka. Orang-orang yang nak kembali kepada masyarakat, jangan salahkan masyarakat, tapi salahkan diri sendiri.

"Datangnya benda yang tidak baik ini bermulanya daripada kita. Jadi, kita kena terima hakikat yang berlaku," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Ameng akan berganding tenaga dengan kumpulan Iklim, Amir Ukays dan Zamani Slam menjayakan Konsert Kasih Pengasih 2023 yang berlangsung di Auditorium RTM Kuantan pada 1 Julai depan.

AMENG, Zamani, Amir Ukays dan anggota kumpulan Iklim bergambar bersama Pemangku Presiden Persatuan Pengasih Malaysia Hafizi Harun (berdiri dua dari kiri). - Amiruddin Sahib
AMENG, Zamani, Amir Ukays dan anggota kumpulan Iklim bergambar bersama Pemangku Presiden Persatuan Pengasih Malaysia Hafizi Harun (berdiri dua dari kiri). - Amiruddin Sahib

Konsert yang dikendalikan Pengasih Asia Sdn Bhd ini bertujuan mencari dana bagi membiayai peralatan dapur, landskap dan kelengkapan rehab baru, Rumah Damai yang mula beroperasi dalam masa terdekat.

Selain itu, ia juga bagi mempromosikan fasiliti Rawatan & Pemulihan Dadah Pengasih di Cinta Manis, Bentong, Pahang.

"Setiap penyanyi akan tampil dengan empat lagu. Saya juga cadangkan kepada penganjur untuk kami menyanyikan lagu Nyanyian Rebah nyanyian asal Aris Ariwatan. Ia sesuai untuk mereka yang terbabit dengan dadah.

"Saya bukan pernah terbabit dengan Pengasih, tapi kalau nak dikira, ia aktiviti yang kelima atau keenam dengan mereka. Untuk majlis kumpul dana, ia dah kali ketiga termasuk yang ini.

"Majlis penyampaian anugerah untuk mereka yang berjaya membebaskan diri daripada dadah turut diberikan. Dari apa yang saya tahu, saya jadi kegemaran orang kuat Pengasih iaitu Datuk Kamisah Nor kerana dia tahu cara saya pulih.

"Dia nak jadikan pemulihan saya sebagai inspirasi untuk mereka yang ada di Pengasih. Saya pun ada juga buat program datang ke Pengasih. Apabila Aidilfitri, saya bagi 'talk' secara sukarela," katanya.

Menurutnya, dia tahu kesusahan Pengasih yang terpaksa berdikari mencari dana.

"Saya tahu kesusahan mereka. Saya juga faham orang yang terbabit dengan dadah kerana saya pun pernah terbabit. Ada orang yang betul-betul nak pulih, tapi kadang-kadang tiada orang nak bantu.

"Agensi macam ini yang banyak membantu. Namun, mereka pula tak dibantu secara khusus. Sebenarnya ada banyak agensi antidadah lain yang ada dengan kos berbeza.

"Tidak semua kerajaan bantu macam sekolah tahfiz. Jadi, kena cari sendiri dana dan ini yang dibuat. Pengasih cari orang yang pernah bersama mereka sebagai usaha cari dana. Dengan bawa orang macam saya dan Zamani terbabit sama, dapat membantu serba sedikit," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Jun 2023 @ 6:00 AM