MUHD Nur Syam (dua dari kanan) menunjukkan tong yang mengandungi minyak diesel dalam kapal dagang nelayan asing yang ditahan di Jeti Maritim APMM, Tok Bali, Pasir Puteh. FOTO IHSAN APMM
MUHD Nur Syam (dua dari kanan) menunjukkan tong yang mengandungi minyak diesel dalam kapal dagang nelayan asing yang ditahan di Jeti Maritim APMM, Tok Bali, Pasir Puteh. FOTO IHSAN APMM
Nor Amalina Alias


Pasir Puteh: Tindakan menyeludup 230,000 liter minyak diesel bernilai RM391,000 ke negara jiran berjaya dipatahkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Negeri Kelantan.

Rampasan itu dibuat ke atas dua kapal dagang yang berjaya ditahan dalam Ops Kuda Laut kira-kira 110 batu nautika daripada muara Tok Bali, Selasa lalu.

Pengarah APMM Negeri Kelantan, Kepten Muhd Nur Syam Asmawie Yaacob berkata, kapal pertama ditahan di 102 batu nautika daripada muara Tok Bali, kira-kira 11.20 pagi manakala kapal kedua ditahan 20 minit kemudian pada jarak 109 batu nautika.

Katanya, kedua kapal vessel asing itu dipercayai menjadi kapal dagang pembekal diesel atau 'feeder' bahan api itu kepada bot nelayan asing Vietnam di Laut China Selatan khususnya di perairan Pantai Timur.

"Kedua kapal bertindak melarikan diri namun berjaya dipinta Kapal Maritim (KM) Tok Bali dan hasil pemeriksaan menemui 80,000 liter diesel pada bot pertama dan 150,000 liter diesel pada bot kedua.

"Jumlah rampasan keseluruhan termasuk dua bot dan diesel membabitkan nilai RM2.39 juta," katanya dalam sidang media di Jeti Maritim APMM Tok Bali, di sini, hari ini.

Beliau berkata, APMM turut menahan 15 awak-awak warga asing termasuk dua tekong bot berkenaan yang berusia 24 hingga 59 dan termasuk seorang krew wanita warga negara Thailand.

Kesemua mereka dan dua kapal berkenaan ditunda ke jeti APMM Tok Bali untuk disiasat di bawah Seksyen 361(1) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952.

"Jika sabit kesalahan, setiap mereka akan didenda tak kurang RM200,000 dan tidak melebihi RM500,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya sekali," katanya.

"Kedua-dua tekong turut gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri, dokumen kapal atau insurans," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Oktober 2020 @ 7:41 PM