BERNAMA

Pasir Puteh: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Kelantan menahan dua bot bersama 11 nelayan termasuk tekong warga Vietnam kerana menceroboh dan menangkap ikan secara haram di perairan negeri ini, semalam.

Pengarah Maritim Negeri Kelantan Kepten Maritim Syed Nor Adli Syed Ab Rahman berkata, bot dan nelayan berkenaan ditahan ketika sedang menangkap ikan pada jarak 94 dan 97 batu nautika dari Muara Tok Bali pada 10.38 pagi dan 11.07 pagi.

"Hasil pemeriksaan menemukan sebanyak 800 kilogram ikan pelbagai jenis. APMM turut merampas 7,000 liter bekalan diesel, alat menangkap ikan dan bot yang kesemuanya bernilai kira-kira RM3 juta," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat APMM Tok Bali, di sini, hari ini.

Beliau berkata kesemua tahanan berusia antara 27 hingga 46 tahun itu kemudian dibawa Jeti APMM Tok Bali yang mengambil masa selama 25 jam apabila salah sebuah bot itu mengalami kerosakan.

Sementara itu, Syed Nor Adli berkata, dalam tempoh lapan bulan tahun ini sejumlah 13 bot dan 75 nelayan Vietnam ditahan kerana kesalahan sama.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Ogos 2021 @ 6:09 PM