Syaherah Mustafa

Pasir Puteh: Tindakan nelayan Vietnam memalsukan dua nombor pendaftaran kepada bot tempatan membawa padah apabila ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Kelantan di Tok Bali, kelmarin.

Hasil penahanan dua bot berkenaan, APMM turut menahan 19 kru termasuk dua tekong berusia 18 sehingga 60 tahun, selain merampas bot, diesel dan peralatan menangkap ikan bernilai RM2.5 juta.

Pengarah APMM Kelantan Kepten Maritim Syed Nor Adli Syed Ab Rahman berkata, kedua-dua bot itu ditahan pada jarak 93 dan 95 batu nautika dari muara Tok Bali di sini, oleh Kapal Maritim (KM) Tok Bali semasa rondaan Op Naga Barat dan Op Kuda Laut di perairan Kelantan.

"Bot pertama ditahan pada 9.31 pagi, manakala bot kedua pada 10.20 pagi. Hasil semakan, nombor pendaftaran bot tidak wujud di dalam sistem pangkalan dan Jabatan Perikanan Malaysia.

"Forensik awal pada badan bot menjumpai kesan nombor pendaftaran asal negara Vietnam yang dipadamkan menggunakan cat putih. Struktur fizikal kedua-dua bot juga menyerupai bot nelayan negara berkenaan.

"Pemeriksaan lanjut turut menemui beberapa nama kru yang tiada di dalam senarai 'crew list', manakala dua kru mempunyai pasport serta sembilan lagi hanya mengemukakan buku pelaut dan lapan lagi tiada sebarang dokumen pengenalan diri," katanya.

Dua Bot nelayan Vietnam yang memalsukan nombor pendaftaran bot kepada bot tempatan membawa padah apabila kegiatan itu dikesan Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) Kelantan, di Muara Tok Bali, kelmarin. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Dua Bot nelayan Vietnam yang memalsukan nombor pendaftaran bot kepada bot tempatan membawa padah apabila kegiatan itu dikesan Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) Kelantan, di Muara Tok Bali, kelmarin. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR

Beliau ditemui ketika sidang media di Jeti Maritim Negeri Kelantan, Tok Bali di sini, hari ini.

Syed berkata, sebuah daripada bot berkenaan mengalami kerosakan ketika dalam perjalanan dan susulan itu KM Tok Bali mengambil masa selama 26 jam untuk menunda kedua-duanya hingga ke Jeti Maritim Negeri Kelantan.

"Kesemua bot ini dipercayai baru memasuki perairan negara susulan penemuan hasil tangkapan 50 kilogram sotong di sebuah daripada bot berkenaan, manakala bot kedua tiada hasil diperolehi selain terdapat baki bekalan bahan api sebanyak 9,500 liter.

"Berdasarkan saiz bot berukuran 23 meter panjang itu, ia berkeupayaan menyimpan lebih 10 tan hasil pada sesuatu masa.

"Selain itu, semua nelayan Vietnam yang ditahan menjalani ujian saringan Covid-19 dan disahkan negatif oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)," katanya.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan atau cuba menangkap tanpa kebenaran Ketua Pengarah Jabatan Perikanan Malaysia dan Seksyen 16(3) akta yang sama susulan tidak memaklumkan ketibaan di perairan Malaysia kepada pihak berkuasa.

Katanya, pesalah boleh dihukum mengikut Sesyen 25(a) iaitu didenda sehingga RM6 juta kepada tekong dan RM600,000 terhadap setiap kru.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 September 2021 @ 1:00 PM