GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Shahrinnahar Latib


Kuantan: Seorang peniaga di Rompin dekat sini, kerugian RM93,809.50 selepas diperdaya sindiket Macau Scam yang mendakwanya terbabit dengan pengubahan wang haram.

Kejadian bermula 21 September lalu apabila wanita berusia 40 tahun itu menerima panggilan daripada individu kononnya pekerja pejabat pos.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) negeri Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, suspek mendakwa ada bungkusan didaftarkan atas nama mangsa.

"Mangsa menafikannya sebelum panggilan kononnya disambungkan ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Seremban.

"Mangsa kemudian bercakap dengan seorang lagi suspek yang memperkenalkan diri sebagai 'Koperal Zakaria'. Suspek kedua mendakwa mangsa terbabit dengan pengubahan wang haram.

"Selepas itu, panggilan disambungkan pula kepada tiga lagi suspek iaitu 'Sarjan Joshua', 'Inspektor Mazlan' dan 'Inspektor Baharun'. Mangsa kemudian diarahkan untuk mengeluarkan kesemua wang di dalam akaunnya dan dimasukkan ke satu akaun sahaja," katanya hari ini.

Beliau berkata, suspek mendakwa semua akaun mangsa akan dibekukan buat sementara.

"Suspek juga meminta mangsa merahsiakan perkara itu dan menunggu keputusan daripada pihak berkuasa sama ada dia terbabit dengan penggubahan wang haram atau sebaliknya.

"Pada 3 Oktober lalu, mangsa membuat semakan dan mendapati baki akaunnya hanya tinggal RM80.63," katanya.

Mangsa kemudiannya membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Rompin, Negeri Sembilan semalam.

Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Oktober 2020 @ 4:47 PM