FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Shahrinnahar Latib


PEMBANTU sebuah taman asuhan kanak-kanak di Kuantan kerugian apabila wang simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) miliknya berjumlah RM78,000 lesap akibat ditipu sindiket Macau Scam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, wanita berusia 56 tahun itu pada mulanya menerima panggilan daripada pihak polis mendakwa Perodua Myvi miliknya didapati kenderaan curi.

“Panggilan itu seterusnya disambungkan kepada ‘Inspektor Mazlan’ dan hasil semakan kononnya mendapati mangsa juga terbabit dengan kes pengubahan wang haram.

“Namun ‘Inspektor Mazlan’ memberitahu boleh membantu mangsa untuk membersihkan namanya daripada tuduhan berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, selepas itu, mangsa dihubungi pula oleh seorang wanita dan menyatakan boleh membantunya untuk membersihkan nama daripada tuduhan berkenaan.

“Namun, suspek berkenaan meminta mangsa mengaktifkan perbankan Internetnya. Mangsa juga diminta untuk berikan nombor pada kad ATM.

“Kemudian mangsa diarahkan untuk pergi ke Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) di sini untuk memindahkan wang simpanan KWSP ke dalam akaun bank miliknya sendiri,” katanya.

Beliau berkata, mangsa kemudian memindahkan wang simpanan KWSP berjumlah RM78,000 ke dalam akaunnya sebelum suspek memberi amaran supaya tidak menceritakan hal berkenaan kepada mana-mana pihak dalam masa seminggu.

“Namun, semalam mangsa membuat semakan di bank dan mendapati wang dalam akaunnya sudah dipindahkan ke dalam satu akaun yang lain dengan jumlah RM78,000.

“Mangsa kemudian membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan,” katanya.

Mohd Wazir berkata, polis sudah mengenal pasti identiti pemilik akaun bank berkenaan.

“Siasatan dilakukan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat serta boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Februari 2020 @ 9:57 AM