Shahrinnahar Latib


PANIK dikatakan terbabit dengan pengubahan wang haram dan penyeludupan dadah, pelayan restoran di Temerloh kerugian RM13,612.69 selepas diperdaya polis bergelar ‘Datuk’, semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, kejadian bermula selepas mangsa yang juga wanita 25 tahun itu menerima panggilan telefon daripada suspek mendakwa dari Mahkamah Johor.

“Suspek memberitahu mangsa mempunyai tunggakan kad kredit berjumlah RM10,300 sebelum panggilan itu disambungkan kepada seorang lagi suspek memperkenalkan diri sebagai ‘Sarjan Sauzi’ dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor.

“Siasatan suspek mendakwa mangsa turut terbabit aktiviti penyeludupan dadah serta pengubahan wang haram,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Mohd Wazir berkata, panggilan kemudian disambungkan kepada seorang lagi suspek yang memperkenalkan diri sebagai ‘Datuk Koh’ yang meminta mangsa memindahkan semua wang ke dalam akaun miliknya untuk menyelesaikan kes.

“Mangsa kemudian membuat pindahan wang sebanyak RM13,000 ke dalam akaunnya dan menyerahkan kata laluan perbankan Internet kepada suspek.

“Setelah semua arahan dituruti, mangsa pulang ke rumah dan semakan ke atas akaunnya mendapati wang RM13,612.69 miliknya sudah hilang dan terdapat transaksi pindahan wang ke akaun milik lain.

“Mangsa menyedari dirinya ditipu dan terus membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Temerloh, semalam,” katanya.

Katanya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat dan boleh didenda, jika sabit kesalahan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Disember 2019 @ 10:53 AM