FOTO hiasan
FOTO hiasan
Shahrinnahar Latib


AKIBAT terlalu takut kerana didakwa terbabit dalam kes penggubahan wang haram berjumlah RM1 juta, seorang doktor pelatih menyerahkan nama dan kata laluan perbankan Internet miliknya menyebabkannya kerugian RM12,400.

Kejadian berlaku pada 26 Oktober lalu apabila lelaki berusia 28 tahun itu menerima panggilan daripada individu mendakwa sebagai pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Pahang Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, suspek mendakwa mangsa ada bekerjasama dengan seorang penjenayah bernama Tan Wai Ping dalam kes penggubahan wang haram sebanyak RM1 juta.

“Mangsa menafikan perkara itu kerana dia langsung tidak mengenali lelaki itu sebelum talian disambungkan kepada pegawai polis dikenali sebagai Inspektor Wong dan Inspektor Kamarul.

“Dalam panggilan itu, mangsa dimaklumkan dia juga terbabit dalam kes dadah sebelum talian disambungkan kepada Encik Lim kononnya juruaudit AMLA dan meminta mangsa membuat pindahan wang,” katanya dalam satu kenyataan media di Kuantan, hari ini.

Beliau berkata, mangsa kemudian memindahkan wang melalui mesin juruwang automatik (ATM) ke dalam akaun yang diberikan sebanyak RM9,900 sebelum dia memberikan nama dan kata laluan perbankan internet miliknya kepada Encik Lim.

“Suspek kemudian memindahkan wang sebanyak RM2,500 ke dalam akaun yang sama dan memberitahu wang berkenaan dipindahkan ke Bank Negara Malaysia (BNM) untuk pembersihan dana.

“Hanya selepas itu mangsa tersedar dia sudah ditipu sindiket berkenaan sebelum membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan, kelmarin,” katanya.

Dalam kes berasingan, seorang suri rumah di Triang, Bera kerugian RM16,000 selepas diperdaya lelaki menyamar sebagai pegawai polis yang turut mendakwanya terbabit dengan kes pengubahan wang haram serta dadah.

Mohd Wazir berkata, kejadian berlaku pada 1 November lalu apabila mangsa, 61, menerima panggilan telefon daripada seorang lelaki bernama Kamal Ali kononnya dari sebuah bank di Kuala Lumpur yang mendakwa dia mempunyai pinjaman RM70,000 dan tunggakan selama tiga bulan berjumlah RM3,885.

“Suspek meminta mangsa membuat laporan kecemasan di IPD Seremban dan disambungkan dengan Sarjan Junaidi yang mendakwa wanita itu turut terbabit dengan kes pengubahan wang haram dan dadah.

“Panggilan kemudian disambungkan kepada Inspektor Kamarul yang meminta mangsa memindahkan kesemua wang dalam akaunnya sebelum wanita itu memindahkan wang RM16,000 ke akaun diberikan suspek,” katanya.

Menurutnya, mangsa kemudian menceritakan perkara itu kepada ahli keluarganya dan dibawa ke IPD Bera untuk membuat laporan.

Katanya, pihak polis kini melakukan siasatan kedua-dua kes berkenaan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 November 2018 @ 10:58 AM