Gambar hiasan
Gambar hiasan
Shahrinnahar Latib


Kuantan: Bimbang ditahan polis kerana dikatakan terbabit dengan kes pengubahan wang haram, seorang peniaga di Rompin terpaksa menanggung kerugian RM93,809.50 selepas diperdaya sindiket Macau Scam yang menyamar sebagai kakitangan pos dan pegawai polis bulan lalu.

Kejadian bermula pada 21 September lalu apabila wanita berusia 40 tahun itu menerima panggilan daripada seorang wanita yang memperkenalkan diri sebagai pekerja pejabat pos dan mendakwa terdapat barang dengan namanya di pejabat pos.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) negeri, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, mangsa menafikan barang berkenaan miliknya sebelum panggilan itu disambungkan kononnya ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Seremban.

"Mangsa kemudian bercakap dengan seorang lagi suspek yang memperkenalkan diri sebagai Koperal Zakaria. Suspek kedua ini membuat semakan dan mendapati mangsa mempunyai rekod jenayah dalam kes penggubahan wang haram serta terdapat waran tangkap ada nama wanita itu.

"Selepas itu, panggilan disambungkan pula kepada tiga lagi suspek iaitu Sarjan Joshua, Inspektor Mazlan dan Inspektor Baharun. Mangsa kemudian diarahkan untuk mengeluarkan kesemua wang di dalam akaunnya dan dimasukkan ke dalam satu akaun sahaja," katanya dalam satu kenyataan media, di sini, hari ini.

Beliau berkata, suspek mendakwa semua akaun mangsa akan dibekukan dan mengarahkan mangsa membuat kad ATM dan menukarkan nombor PIN serta nombor telefon yang diberikan oleh suspek.

"Suspek juga meminta mangsa merahsiakan perkara ini dan menunggu keputusan daripada pihak audit untuk mengesan wang berkenaan sama ada terbabit dengan penggubahan wang haram.

"Pada 3 Oktober lalu, mangsa membuat semakan di dalam akaunnya dan mendapati baki hanya tinggal sebanyak RM80.63. Kerugian yang dialami oleh mangsa sebanyak RM93,809.50," katanya.

Katanya lagi, mangsa yang baru menyedari dirinya ditipu membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Rompin di sini, semalam.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Oktober 2020 @ 10:30 AM