Tanah Tinggi Bario.
Tanah Tinggi Bario.
BERNAMA

Kuching: Pa' Dalih, Bario, sebuah kawasan dataran tinggi terpencil di pedalaman utara Sarawak kini menjadi fokus Jabatan Kesihatan untuk melaksanakan pengesanan kontak selepas seorang pekerja minyak dan gas didapati positif Covid-19 melawat kawasan itu baru-baru ini.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan lelaki berusia 49 tahun yang bekerja di Iraq dilaporkan pernah melawat keluarganya di Bario dalam tempoh 14 hari lalu sebelum dikesan positif wabak itu pada 30 September lalu.

"Sehingga hari ini, seramai lapan kontak dikesan di sekitar Miri (bandar raya paling dekat dengan Bario) dan pengesanan kontak di Pa' Dalih sedang dilakukan. Jabatan Bomba dan Penyelamat juga membantu menerbangkan dengan helikopter petugas kesihatan untuk menjalankan saringan kontak. Anggaran kontak rapat di Pa' Dalih ialah 17 orang," menurut kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu lagi, siasatan lanjut dan pengesanan kontak dilakukan Pejabat Kesihatan Bahagian Miri sebaik sahaja menerima notifikasi berkaitan kes itu daripada Pejabat Kesihatan Daerah Sepang, Selangor September lalu.

JPBN Sarawak hari ini mengesan tiga kes baharu yang menjadikan keseluruhannya 716 kes Covid-19 di Sarawak, sejak Mac lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Oktober 2020 @ 7:06 PM