MOHD NIZOM SAIRI
MOHD NIZOM SAIRI
BERNAMA

Putrajaya: Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) akan menyemak semula sasaran kutipan cukai bagi 2020 kerana sasaran RM154 bilion ditetapkan pada Januari lalu dibuat sebelum pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Operasi Percukaian) LHDN, Datuk Mohd Nizom Sairi berkata, LHDN sudah menghantar sasaran baharu kutipan cukai bagi 2020 kepada Kementerian Kewangan berdasarkan situasi pandemik Covid-19.

"Pengurangan dicadangkan adalah anggaran, tetapi ia akan melebihi RM100 bilion," katanya kepada pemberita selepas menghadiri sesi dialog bertajuk 'Deepen Perspectives on Tax' pada satu forum percukaian di sini, hari ini.

Mohd Nizom berkata, kutipan cukai untuk tahun ini akan menentukan unjuran dan strategi untuk tahun depan.

Dalam pada itu, kelonggaran diberikan kepada syarikat akan berdasarkan kepada kes demi kes.

Sementara itu, seorang pakar percukaian daripada Deloitte Malaysia, Tan Eng Yew berkata, sekarang bukan masa sesuai bagi kerajaan untuk mengembalikan cukai barang dan perkhidmatan (GST) walaupun cukai itu lebih baik berbanding cukai jualan dan perkhidmatan (SST).

"Masa mencukupi mesti diberi daripada segi persiapan untuk perniagaan dan latihan mencukupi bagi orang ramai untuk memahami apa cuba dilakukan kerajaan sebelum kembali kepada GST.

"Secara peribadi, saya berpendapat persiapan selama enam hingga sembilan bulan sudah mencukupi untuk perniagaan kembali kepada GST," katanya ketika ditemui pemberita di luar forum percukaian itu.

Tan berkata, kadar GST tidak boleh melebihi enam peratus.

"Keperluan rakyat harus dijaga. Kadarnya tidak harus membebankan, "katanya.

Malaysia melaksanakan GST pada kadar enam peratus berkuat kuasa pada 1 April 2015. Pada September 2018, rejim cukai kembali kepada SST.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 September 2020 @ 8:07 PM