DR MAHATHIR. FOTO Arkib NSTP
DR MAHATHIR. FOTO Arkib NSTP
Idris Musa

“TIDAK ada sebabnya kita kembali cukai yang ditolak oleh rakyat dahulu," kata Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berhubung Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dilaksanakan kerajaan terdahulu.

Beliau berkata, kerajaan pada masa ini sedang menjalankan proses penambahbaikan bagi memantapkan lagi pelaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).

“Sebuah kerajaan perlu mengenakan cukai untuk mengumpul dana yang diperlukan untuk pentadbiran negara. Banyak jenis cukai yang diperkenalkan.

“Cukai GST ini diperkenalkan dahulu dan kita dengar banyak rintihan daripada rakyat kerana kerap kali mereka membayar cukai dua kali dan kadang-kadang menunggu pembayaran balik tak sampai-sampai.

“Sebab itulah kita berpendapat kita perlu kembalikan balik SST dan ini sedang berjalan dengan baik. Dan kita perlu memperbaiki lagi pelaksanaan cukai yang baharu ini," katanya pada Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat di Kuala Lumpur, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ma'mun Sulaiman (PH-Kalabakan) yang ingin tahu hala tuju kerajaan berikutan kenyataan baru-baru ini bahawa kerajaan bersedia melaksanakan semula GST sekiranya ia dikehendaki rakyat.

Perdana Menteri menjelaskan, berhubung dengan cadangan pelaksanaan semula GST, didapati ianya memerlukan kajian lebih lanjut.

“Penelitian perlu dibuat terutama ke atas impak kesan kenaikan harga kepada pengguna, kadar inflasi dan pertambahan kos pematuhan kepada peniaga kerana terdapat keperluan untuk mengubah sistem perkomputeran dan latihan semula kepada kakitangan, di samping bayaran balik cukai,” katanya.

Beliau bagaimanapun menegaskan, perubahan sistem percukaian tidak wajar dibuat terlalu kerap kerana ia akan mengurangkan keyakinan pelabur dan memberi imej yang kurang baik.

Sehubungan dengan itu juga beliau melahirkan keyakinan dalam tahun-tahun akan datang SST akan melebihi kutipan daripada GST.

“Saya yakin apabila ianya diurus dengan baik. Kita akan dapat pulangan cukai yang lebih tinggi dari GST,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Oktober 2019 @ 12:07 PM