MOHD Nizam (tengah) ketika majlis perasmian pembukaan Kem Cerdik Cukai 2017.
MOHD Nizam (tengah) ketika majlis perasmian pembukaan Kem Cerdik Cukai 2017.
Fairul Asmaini Mohd Pilus


Bangi: Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) yakin dapat mencapai sasaran kutipan cukai RM127 bilion untuk 2017 berdasarkan prestasi terkini jumlah pembayaran cukai semasa.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pengurusan) LHDN Datuk Mohd Nizom Sairi berkata, sehingga bulan ini, jumlah kutipan cukai yang diperoleh melebihi tujuh peratus daripada kutipan untuk tempoh sama tahun lalu.

“Masih ada tempoh sebulan lagi dan kita yakin sasaran kutipan akan dapat dicapai menjelang akhir tahun ini.

“Kejayaan ini adalah hasil langkah agresif LHDN yang berterusan dalam memberi kesedaran kepada masyarakat umum mengenai kewajipan membayar cukai untuk membantu membangunkan negara,” katanya pada sidang media di Akademi Percukaian LHDN, semalam.

Terdahulu, beliau mewakili Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Datuk Seri Sabin Samitah merasmikan Kem Cerdik Cukai 2017.

Hadir sama Timbalan Rektor Institut Pendidikan Guru Malaysia Dr Rusmini Ku Ahmad.

Dalam pada itu, mengulas mengenai siasatan terhadap isu pindahan harga iaitu pembahagian keuntungan yang mungkin tidak setara antara entiti di Labuan dan di Semenanjung, Mohd Nizom berkata, LHDN sedang menyiasat dengan mengaudit beberapa bank yang mempunyai transaksi pesisir di Labuan.

“Kedua-dua tempat ini mempunyai kadar cukai berbeza dan kita sudah mula membuat semakan.

“Kita membuat pemantauan dan semua tidak akan terlepas daripada membayar cukai mengikut peraturan ditetapkan,” katanya.

Sementara itu, kem pendidikan selama empat hari yang memasuki tahun ke tujuh itu dianjurkan dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia.

Edisi kali ini bertemakan ‘Memperkasakan Generasi Celik Cukai Ke Arah TN50’ yang disertai 200 pelajar tingkatan enam bersama 50 guru pengiring dari 50 sekolah seluruh negara.

Ia diadakan bagi memberi pendedahan kepada generasi muda mengenai kepentingan cukai dalam memajukan negara.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 November 2017 @ 6:44 AM