Suraya Roslan


Kuala Lumpur: Orang ramai yang tidak mahu petugas banci melakukan temu ramah secara bersemuka dinasihat untuk mengisi borang secara dalam talian melalui laman sesawang www.mycensus.gov.my.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, setakat ini hanya 1.5 juta rakyat yang selesai mengisi e-Census, sedangkan angka itu masih di bawah sasaran berikutan Malaysia mempunyai 32.7 juta penduduk.

"Jabatan Perangkaan Malaysia sedang menjalankan Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2020 (Banci 2020) melalui dua fasa iaitu fasa pertama menerusi dalam talian E-Census bermula 7 Julai hingga 30 September ini.

"Fasa kedua pula secara bersemuka bermula 7 hingga 24 Oktober depan. Saya mahu ingatkan orang ramai yang tidak mahu bersemuka dengan pegawai banci supaya segera mengisinya dalam talian.

"Berikutan pandemik Covid-19, kerajaan menggesa orang ramai untuk mengambil bahagian dalam Banci 2020 melalui e-Census yang akan tamat dalam tempoh 15 hari lagi," katanya dalam sidang media harian hari ini.

Katanya, orang ramai diharap memanfaatkan pengisian e-Census yang akan tamat pada 30 September bagi mengurangkan kadar interaksi banci secara bersemuka yang akan berlangsung mulai 7 Oktober depan.

"Kerajaan menetapkan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat bagi operasi banci di tempat kediaman persendirian dan tempat kediaman institusi.

"Ini termasuk petugas banci wajib mengguna pelitup muka dan cecair pembasmi kuman, mengamalkan penjarakan fizikal dan mematuhi etika pembancian.

"Bagi kawasan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), temu ramah secara bersemuka tidak dibenarkan," katanya.

SETAKAT ini hanya 1.5 juta rakyat yang selesai mengisi e-Census. FOTO BERNAMA
SETAKAT ini hanya 1.5 juta rakyat yang selesai mengisi e-Census. FOTO BERNAMA

  • Lagi berita berkaitan Covid-19

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 September 2020 @ 3:52 PM