DR MOHD Uzir (kiri) akui masih ramai belum isi maklumat banci di e-Census. FOTO MUSTAFFA KAMAL
DR MOHD Uzir (kiri) akui masih ramai belum isi maklumat banci di e-Census. FOTO MUSTAFFA KAMAL
Rafidah Mat Ruzki


JABATAN Perangkaan Malaysia kini giat menjalankan usaha menggalakkan lebih ramai rakyat Malaysia menggunakan pendekatan bancian dalam talian atau e-Census untuk menyalurkan maklumat terhadap Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2020 (Banci 2020).

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, berkata ia berikutan kurang 1 juta isi rumah yang sudah menjawab bancian berkenaan selepas 45 hari Banci 2020 dilaksanakan sejak 7 Julai lalu.

Katanya, selain masih ramai yang terbiasa dengan kaedan banci secara berdepan seperti yang dijalankan selama ini, ada juga isi rumah yang berdepan kekangan liputan perkhidmatan internet.

Beliau berkata, ketika ini, pihaknya menggerakkan kiosk Banci 2020 di lokasi tumpuan orang ramai di seluruh negara selain Pusat Transformasi Desa (RTC) serta pusat internet FELDA bagi membantu orang ramai memasukkan maklumat bancian.

"Data yang kita perolehi mendapati responden dari Sabah dan Sarawak mencecah 50 peratus setakat hari ini namun, kita juga menyedari ada individu yang menghadapi kekangan capaian Internet.

"Justeru, mereka boleh menyemak dengan laman sesawang MyCensus di mana pihak Jabatan Perangkaan Malaysia akan membuka kiosk bagi memudahkan maklumat bancian dihantar," katanya.

Selain sedang menyusun strategi bagi menggalakkan lebih ramai pihak menggunakan kaedah banciane-Census, Mohd Uzir turut mendapatkan kerjasama daripada kementerian dan agensi kerajaan.

Mengulas lawatannya serta pertemuan dengan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, hari ini, Mohd Uzir berkata, pihaknya berharap ia dapat menggalakkan lebih ramai penduduk di negara ini termasuk warga asing untuk turut sama menggunakan kaedah e-Census itu.

Katanya, beliau juga sudah mengadakan pertemuan dengan Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Affendi Buang serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) untuk bersama-sama membantu memberi penerangan kepada penduduk di negara ini.

"Kita berharapkan kerjasama dengan kementerian yang mempunyai ramai anggota untuk mereka dapat memaklumkan kepada penduduk mengenai e-Census.

"Pada masa sama, kita juga berharap Dr Noor Hisham dapat menjadi pendorong untuk penduduk di negara ini menggunakan e-Census," katanya.

Projek bancian yang memasuki edisi keenam kini membabitkan kira-kira 32.7 juta penduduk dan sembilan juta kediaman, dijalankan dalam dua fasa, dengan fasa pertama bermula dari 7 Julai hingga 30 September ini dilaksanakan menerusi e-Census, manakala fasa kedua akan bermula 7 hingga 24 Oktober menggunakan kaedah temu ramah secara bersemuka.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Ogos 2020 @ 6:19 PM