Pengawai Jabatan Perangkaan Malaysia negeri Kelantan memberi penerangan kepada orang awam mengenai kemudahan pelaksanaan bancian dengan kaedah pengumpulan data secara atas talian (e-Census) di Kampung Chicha, Kubang Kerian. FOTO NSTP
Pengawai Jabatan Perangkaan Malaysia negeri Kelantan memberi penerangan kepada orang awam mengenai kemudahan pelaksanaan bancian dengan kaedah pengumpulan data secara atas talian (e-Census) di Kampung Chicha, Kubang Kerian. FOTO NSTP
BERNAMA

HAMPIR 500,000 penduduk sudah mula melaksanakan tanggungjawab dengan mengisi maklumat Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2020 (Banci 2020) secara dalam talian, atau 'e-Census', sejak 7 Julai lalu.

Ketua Perangkawan Malaysia Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin bagaimanapun berkata, jumlah itu masih di bawah sasaran, selaras dengan bilangan penduduk Malaysia yang direkodkan kini berjumlah kira-kira 32 juta orang.

Beliau berkata, sehubungan itu pihaknya sedang mempergiatkan promosi untuk meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai pelaksanaan Banci 2020.

"Macam hari ini kita buat program dengan Cuepacs (Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam) sebagai promosi kepada penjawat awam," katanya pada sidang media selepas menghadiri Mesyuarat Majlis Kongres Cuepacs dan Promosi Pelaksanaan Banci di Kuala Lumpur, hari ini.

Mohd Uzir yang juga Pesuruhjaya Banci 2020 turut meminta kira-kira 1.62 juta penjawat awam untuk menghebahkan mengenai 'e-Census' itu kepada ahli keluarga dan orang sekeliling mereka.

"Sekiranya bilangan yang mengisi e-Census mampu mencecah 20 juta, pelaksanaan banci secara rumah ke rumah akan menjadi lebih mudah Oktober nanti kerana berbaki lebih 10 juta sahaja," katanya dan menambah beliau berharap lebih ramai menggunakan bancian secara e-Census.

Projek bancian yang memasuki tahun keenam kini membabitkan kira-kira 32.7 juta penduduk dan sembilan juta kediaman, dijalankan dalam dua fasa.

Fasa pertama bermula dari 7 Julai hingga 30 September ini dilaksanakan menerusi e-Census, manakala fasa kedua akan bermula 7 hingga 24 Oktober menggunakan kaedah temu ramah secara bersemuka.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Julai 2020 @ 6:14 PM