RUMAH sumbangan PBJ TNB yang lebih luas dan sempurna untuk Haslina sekeluarga berteduh
RUMAH sumbangan PBJ TNB yang lebih luas dan sempurna untuk Haslina sekeluarga berteduh
Suliati Asri


MELIHAT rumah pusaka keluarga yang menjadi tempat berteduh terbakar meruntun hati Shahrulrashid Baharim, 47, dan kejadian itu menyebabkan dirinya buntu serta tinggal sehelai sepinggang.

Kejadian itu menyebabkan dia terpaksa hidup menumpang dan bersesak di rumah ibu saudaranya.

Namun, ada sinar di hujung jalan buat Shahrulrashid apabila rumah pusaka separa kayu dan batu didiami sejak 2 Januari tahun lalu itu dibina semula oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB) menerusi Projek Baiti Jannati (PBJ) pada 21 Julai lalu.

Lebih menggembirakan rumah baru PBJ itu dibina di atas tapak asal yang juga milik ibunya di Kampung Tawakkal, Johor Bahru.

Shahrulrashid yang bekerja sebagai buruh kasar menyambutnya dengan rasa syukur kerana mendapat rumah baru itu.

Menurutnya, dengan pendapatan diperolehnya dia tidak berkemampuan untuk membina rumah itu semula.

SHAHRULRASHID menghidupkan suis lampu di rumah barunya
SHAHRULRASHID menghidupkan suis lampu di rumah barunya

"Kami orang susah. Jadi, bila ditimpa musibah, rumah hangus terbakar, memang terasa sangat. Hiba bila lihat rumah jadi arang dan tidak dapat selamatkan apa-apa pun.

"Terima kasih TNB membantu. Hanya Allah sahaja dapat membalasnya," katanya.

Penyerahan rumah itu disempurnakan Ketua (Perkhidmatan Pelanggan) TNB Johor Kamal Ariffin A Rahman.

Bagi Haslina Suzana Muktar, 35, pula, Aidiladha tahun ini membawa pengertian lebih besar buat keluarganya apabila menyambutnya di rumah baharu yang diperoleh menerusi PBJ TNB.

Sebelum ini, Haslina keluarga asnaf lima beranak di Kampung Air Tawar, Besut, Terengganu berteduh di rumah serba sempit tanpa bilik di atas tapak asal gerai pisang goreng milik ibunya.

Menerusi PBJ TNB ini, rumah sempit itu diubah suai menjadi kediaman tiga bilik dan lebih sempurna.

"Alhamdulillah, saya sangat bersyukur dengan rumah baru ini. Dengan adanya rumah yang serba lengkap ini, dapatlah anak membesar dan belajar dengan selesa," katanya.

SHAHRULRASHID sekeluarga gembira rumahnya yang hangus terbakar siap dibina
SHAHRULRASHID sekeluarga gembira rumahnya yang hangus terbakar siap dibina

Majlis penyerahan rumah itu disaksikan Ketua Pegawai Insan TNB Datuk Muhammad Razif Abdul Rahman dan Ketua (Perkhidmatan Pelanggan) TNB Terengganu Mohd Nazri Puteh.

Menceritakan keperitan dilalui, Haslina dan suami meninggalkan Kuala Lumpur untuk meneruskan kehidupan di kampung halaman bagi membesarkan tiga anak berumur empat hingga 15 tahun.

Pendapatan suaminya sebagai nelayan kecil pula tidak menentu manakala bantuan daripada Jabatan Kebajikan Malaysia (JKM) pula digunakan untuk urusan perubatan anak bongsunya berulang alik ke hospital setiap bulan kerana mengidap penyakit asma kronik.

PBJ adalah program tanggungjawab sosial korporat TNB untuk membaiki, membina atau membiayai pembelian kediaman golongan yang memerlukan termasuk orang kurang upaya, ibu tunggal, warga emas, dan penduduk miskin bertaraf asnaf.

Dilancarkan pada 2007 di peringkat TNB dan pada permulaan program sehingga 2012, kos program berkenaan menggunakan peruntukan syarikat itu.

Bagaimanapun, mulai 2013, kos ditanggung menggunakan wang zakat TNB yang dikembalikan Majlis Agama Islam Negeri.

GAMBAR kenangan Haslina di rumah lamanya yang kecil dan sempit.
GAMBAR kenangan Haslina di rumah lamanya yang kecil dan sempit.

Kos membaiki, membina dan membeli kediaman tidak melebihi RM50,000.

Lebihan daripada kos membaiki, membina atau membeli kediaman pula digunakan bagi melengkapi kediaman seperti membeli perabot, langsir dan lain-lain.

Ketua Pegawai Korporat TNB Datuk Wira Roslan Ab Rahman berkata, pihak TNB berharap usaha itu memberi kegembiraan kepada penerima.

"Kita juga berharap bantuan ini memberikan kehidupan yang sempurna untuk didiami oleh penerima, sekali gus ruang yang selesa untuk anak-anak belajar," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 September 2020 @ 9:00 AM