DR Chong Fatt Full. FOTO arkib NSTP
DR Chong Fatt Full. FOTO arkib NSTP
Mohamed Farid Noh


AHLI Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pemanis, Dr Chong Fat Full, mengesahkan sudah menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), sejak lima hari lalu.

Dr Chong yang juga ADUN Bebas berkata, keputusan itu diambil berikutan yakin BERSATU akan menjadi wadah relevan buatnya dalam terus memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat di kawasannya.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna Johor akan terus meletakkan kepentingan rakyat sebagai keutamaannya berbanding kepentingan diri dan politik.

"Ya, saya sudah sah menjadi ahli BERSATU sejak lima hari lalu ketika acara rasmi pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Penggerak Komuniti Negara (PKN) , di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) yang dihadiri Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

"Bekas ahli PKR dalam G10 termasuk bekas Timbalan Presidennya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali serta penggerak PKN yang lain juga hadir dan mengumumkan keputusan menyertai BERSATU pada hari berkenaan.

"Ramai yang tidak sedar dan mungkin terlupa saya juga adalah anggota PKN, jadi keputusan menyertai BERSATU bukanlah sesuatu yang sepatutnya mengejutkan. Bagaimanapun, ramai yang menghubungi saya semula bagi mengesahkannya (sertai BERSATU) dan saya beri pengesahan, " katanya ketika dihubungi.

Pada 4 Mac lalu, Dr Chong yang juga seorang doktor gigi mengumumkan keluar dari PKR dan menjadi ADUN Bebas sekaligus menyokong kerajaan Muafakat Nasional (BN) di Johor.

Dua hari kemudian, Dr Chong dilantiak sebagai seorang daripada 10 Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) Johor dan mengangkat sumpah di hadapan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar di Istana Bukit Serene.

Ia susulan kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan (PH) di Johor selepas Datuk Hasni Mohammad, diangkat menjadi Menteri Besar yang baharu pada 28 Februari lalu.

Sabtu lalu pula, PKN mengumumkan keputusan menyertai BERSATU, demi memacu perpaduan negara dan menjamin kestabilan politik Malaysia.

Sebahagian besar ahli PKN dianggotai serpihan PKR dan diterajui kumpulan yang menggelar diri mereka sebagai G10.

Antara bekas ahli PKR dalam G10 ialah bekas Timbalan Presidennya, Azmin; dua bekas Naib Presiden PKR, Zuraida Kamaruddin dan Ali Biju; Datuk Seri Saifuddin Abdullah (Ahli Parlimen Indera Mahkota), Datuk Mohd Rashid Hasnon (Ahli Parlimen Batu Pahat), Datuk Seri Dr Santhara Kumar (Ahli Parlimen Segamat), Willie Mongin (Ahli Parlimen Puncak Borneo) serta Datuk Kamaruddin Jaffar (Ahli Parlimen Bandar Tun Razak).

Mengulas lanjut,Dr Chong berkata, beliau juga sangat optimis dengan masa depan Bersatu berikutan pengumuman Muhyiddin yang juga Presiden parti berkenaan yang bakal mewujudkan 'New Chapter' dalam parti itu bagi membolehkan ahli bersekutu sepertinya memegang jawatan dalam parti dan menyumbang idea untuk memajukan parti dan negara.

"Bersatu akan menjadi lebih progresif kerana tidak hanya memperjuangkan orang Melayu dan Bumiputera malah memberi ruang kepada bukan Melayu menyertai perjuangan bersama membentuk negara bangsa, " katanya.

Terdapat 56 kerusi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor dengan agihan terkininya adalah UMNO dan DAP masing-masing 14, BERSATU (12), MIC (dua), PAS (satu) sementara AMANAH (9) dan PKR pula (empat).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Ogos 2020 @ 11:58 AM