TOK Mat digantung sehingga 2038.
TOK Mat digantung sehingga 2038.
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Kumpulan G10 memberi amaran kepada Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) untuk tidak meminda draf perlembagaan yang sudah dipersetujui antara G10, PSM dan Pesuruhjaya Sukan (PJS).

Kumpulan itu menegaskan, jika ia tidak dipatuhi oleh PSM, maka kumpulan G10 akan menamatkan kerjasama dengan PSM sekali gus menubuhkan entiti baru sukan sepak takraw negara.

"Kami G10 sudah membuat satu keputusan dan ketetapan yang tegas serta muktamad bahawa sekiranya Mesyuarat AMT (Ahli Majlis Tertinggi) Khas PSM pada 7 Oktober 2021 dan EGM (Mesyuarat Agung Luar Biasa) PSM bertindak meminda apa juga terma di dalam draf pindaan perlembagaan PSM atau menolak draf pindaan perlembagaan PSM, G10 akan menamatkan kerjasama dengan PSM.

"G10 akan menubuhkan entiti baru bagi sukan sepaktakraw negara bagi menggantikan PSM yang telah rosak imej dan kredibilitinya akibat disingkir dari Persekutuan Sepaktakraw Asia (Astaf).

"G10 juga akan menggesa PJS agar PSM dibubarkan kerana tiada kesungguhan menyokong usaha murni remedi (pemulihan) yang dipersetujui bersama untuk mengembalikan semula PSM ke dalam Astaf.

"Meskipun ada di kalangan G10 yang menyertai semula PSM tetapi masih tetap utuh berpegang teguh kepada proses penyelesaian kemelut PSM berdasarkan pelan remedi PSM yang diusahakan dan dipersetujui bersama G10-PJS-PSM," kata G10 dalam satu kenyataan.

Terdahulu, G10 menerusi kenyataan sama menegaskan mereka berpegang teguh kepada usaha perubahan di dalam PSM seperti dipersetujui antara G10, PSM dan PJS.

"G10 tetap berpegang pada ketetapan di mana draf pindaan perlembagaan PSM yang diusahakan dan dipersetujui PJS-G10-PSM mestilah diterima sebulat suara oleh PSM dalam EGM PSM tanpa adanya bantahan," kata kenyataan itu.

PSM sebelum ini dikenakan hukuman penyingkiran daripada Astaf manakala bekas presidennya, Datuk Seri Ahmad Ismail dijatuhkan hukuman penggantungan selama 17 tahun sehingga 2038.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Oktober 2021 @ 2:55 PM