IKAN Kelisa yang dirampas.
IKAN Kelisa yang dirampas.
Suraya Roslan


JABATAN Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) merampas 600 ikan Golden Arowana atau kelisa yang cuba dieksport secara salah ke negara China di bahagian kargo Pintu Masuk Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Pengarah MAQIS Selangor, Dr Tarmisal Alimin berkata, berdasarkan hasil pemeriksaan dilakukan pegawainya pada Selasa lalu di ruangan kargo tempat pemeriksaan Bay 8, KLIA, mendapati nombor mikrocip yang terdapat pada ikan berkenaan tidak sama dengan dokumen Kawalan Konvensyen Perdagangan Antarabangsa Mengenai Spesis Fauna Dan Flora Terancam (CITES) yang diisytiharkan.

"Dagangan ikan Golden Arowana itu ditahan kerana pemiliknya memberikan dokumen yang tidak tepat dan mengelirukan dalam pengeksportan ketika pemeriksaan dijalankan.

"Sebanyak 600 ikan Golden Arowana bernilai RM215,816 itu ditahan dan kes disiasat mengikut Seksyen 13, Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728) iaitu mengeksport ikan dengan mengisytiharkan dokumen yang palsu, tidak tepat atau mengelirukan

"Jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali," katanya.

Katanya, Golden Arowana atau nama saintifiknya Scleropages formosus adalah ikan di bawah CITES.

"MAQIS sentiasa menjalankan pemeriksaan bagi memastikan sebarang kemasukan dan keluaran komoditi haiwan, pertanian dan ikan sentiasa mematuhi syarat dan peraturan yang ditetapkan bagi menjamin biosekuriti negara," katanya.

BERATUS ikan Kelisa terdapat di dalam kargo.
BERATUS ikan Kelisa terdapat di dalam kargo.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Julai 2020 @ 4:47 PM