ZHAFRI pakar merawat dan mencantikkan ikan arowana. FOTO Ihsan Zhafri Zainudin
ZHAFRI pakar merawat dan mencantikkan ikan arowana. FOTO Ihsan Zhafri Zainudin
Redzuan Muharam


Butterworth: Bukan hanya gemar memelihara, malah Zhafri Zainudin ada kelebihan mencantikkan dan merawat ikan kelisa emas atau sinonim dengan jolokan arowana yang bermasalah.

Antara penyakit boleh dirawatnya termasuklah kembang sisik (dropsy) dan kembung perut (bloating) manakala pembedahan kecil dilakukannya seperti insang berlipat (gill curls), mata jatuh (drop eye), mulut bawah terlebih (protruding lower jaw), patah ekor dan patah dayung.

Menariknya, kepakaran itu dipelajari sendiri Zhafri, 33, dengan menonton video di Youtube dan dipraktikkan dulu sebelum ada keyakinan untuk merawat serta menjalankan pembedahan.

Katanya, dia mengambil upah melakukannya kerana ada permintaan daripada pemilik ikan arowana.

"Ramai pencinta arowana namun hanya orang yang berani dan faham saja boleh melakukan pembedahan. Mulanya dulu gementar juga malah dua kali pembedahan dilakukan tidak menjadi tetapi tidak sampai ikan itu mati dan kini sudah yakin cuma tidak keterlaluan (terlalu yakin).

"Alhamdulillah, pelanggan sudah mula percaya dan sebelum mulakan pembedahan, saya akan dapatkan tidur yang secukupnya.

"Ikan pula 'dipuasakan' sekurang-kurangnya selama seminggu untuk mengelak kesan sampingan selepas pembedahan dan antara bahan digunakan adalah plastik untuk menangkap ikan, ubat pengsan (Nika Transmore), bekas (untuk meletak ikan), penyepit dan gunting tahan karat," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Berkongsi minatnya terhadap arowana, Zhafri yang bekerja sebagai pengurus jualan sebuah hotel di sini berkata, minat terhadap arowana tercetus sejak empat tahun lalu dan tertarik untuk memeliharanya kerana mahu tahu lebih mengenai haiwan itu yang dianggap khazanah negara.

"Hobi saya ini bermula sebelum pandemik Covid-19 lagi dan semakin aktif selepas tidak bekerja ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang lalu.

"Berbekalkan wang simpanan yang ada, saya beli untuk pelihara dan pada masa sama menjualnya kepada yang berminat dengan kebanyakan pelanggan adalah pengikut di Facebook (Fb) , Fish Cartel serta TikTok (fish_cartel).

"Setakat ini, saya mempunyai 14 ekor ikan arowana spesies Malaysian Golden Arowana dengan kesemuanya daripada induk terpilih dan sudah membelanjakan hampir RM30,000 untuk hobi berkenaan.

"Individu banyak membantu saya daripada awal adalah pemilik ladang ikan, Trinity Golden Arowana Farm, Lincoln Chua dan Mohamad Ruslan Mohamad Napiah iaitu pemilik ladang Arowana serta otai yang tidak lokek berkongsi ilmu mengenai arowana dengan saya," katanya yang turut berkongsi ilmu dan cara penjagaan ikan arowana di saluran Youtube miliknya, Fish Cartel.

ZHAFRI bersama sijil penghargaan diterima selepas menyertai Arowana Fans Online Competition tahun lalu.
ZHAFRI bersama sijil penghargaan diterima selepas menyertai Arowana Fans Online Competition tahun lalu.

Menurut Zhafri, ilmu itu tidak disimpan sendiri sebaliknya dikongsikan dengan pelanggan yang membeli ikan arowana daripadanya malah turut mengaktifkan kumpulan WhatsApp bagi berkongsi cara penjagaan betul.

Zhafri berkata, niatnya adalah untuk mendidik masyarakat khususnya pencinta ikan arowana mengenai haiwan berkenaan.

"Apabila jadi pelanggan, secara automatik mereka menjadi rakan saya dan cuba terangkan mereka perincian kerana setiap ikan ada nama saintifik juga rekod seperti tarikh lahir asal usulnya.

"April lalu, saya bersama bersama Trinity Golden Arowana Farm menyumbang enam ekor ikan arowana kepada The Top Komtar, Boutique Aquarium, di sini untuk pendidikan awam.

"Kiranya, saya bukan 100 peratus buat pelihara dan jual ikan sebab duit kerana matlamat saya adalah menaikkan martabat ikan arowana Malaysia selain membuka kedai ikan hias, memiliki ladang sendiri kelak serta menaikkan lagi nama ikan Malaysian Arowana di mata dunia," katanya yang pernah menyertai dan mendapat tempat kelapan dalam Arowana Fans Online Competition pada tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Ogos 2022 @ 10:13 PM