KAYU jati bernilai RM1,964,636.46 berjaya dirampas pihak MAQIS di pintu masuk Batu Pahat. FOTO Ihsan MAQIS
KAYU jati bernilai RM1,964,636.46 berjaya dirampas pihak MAQIS di pintu masuk Batu Pahat. FOTO Ihsan MAQIS
Essa Abu Yamin

Batu Pahat: Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Negeri Johor menggagalkan cubaan sebuah kapal tongkang membawa masuk muatan kayu jenis jati bernilai RM1,964,636.46 dari Myanmar melalui pintu masuk Batu Pahat, di sini, hari ini.

Pengarah MAQIS Johor, Nur Afifah A Rahman berkata, MAQIS Johor dengan kerjasama Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia merampas kayu gergaji seberat 150 tan matrik.

"Pemeriksaan dilakukan pada 10 pagi dan MAQIS turut menahan seorang lelaki tempatan berusia 60-an yang dipercayai pemilik di tempat penyimpanan kayu berkenaan.

"Hasil pemeriksaan mendapati dagangan berkenaan menggunakan dokumen mengelirukan dan ia disita untuk tindakan lanjut.

"Perbuatan menggunakan dokumen mengelirukan itu adalah kesalahan mengikut Seksyen 13, Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728)," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali mengikut Seksyen 13 akta sama.

Menurutnya, MAQIS sentiasa melakukan pemeriksaan keluaran pertanian di semua pintu masuk negara bagi memastikan tumbuhan, haiwan, karkas, ikan, keluaran pertanian dan mikroorganisma diimport ke negara ini bebas ancaman perosak, penyakit dan bahan cemar serta mematuhi syarat dan peraturan ditetapkan kerajaan.

FOTO Ihsan MAQIS
FOTO Ihsan MAQIS

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Oktober 2020 @ 7:28 PM