Ikan yang dirampas MAQIS. FOTO ihsan MAQIS
Ikan yang dirampas MAQIS. FOTO ihsan MAQIS
Zuliaty Zulkiffli


Padang Besar: Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Perlis merampas pelbagai jenis ikan basah yang cuba dibawa masuk dari Thailand, hari ini.

Pengarah MAQIS Perlis, Mohamad Arshad Raffin berkata, ikan basah seberat 1,482 kilogram (kg) itu ditemukan dalam lori yang ditahan di Unit Kargo Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Imigresen (ICQS) Padang Besar, di sini.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan dilakukan pegawai penguatkuasa MAQIS mendapati, pihak pengimport membawa jumlah ikan basah yang melebihi jumlah yang diikrar pada permit MAQIS.

"Ikan basah itu kemudian diletakkan bersama ikan basah lain bagi mengelirukan pihak berkuasa.

"Lebihan ikan basah itu yang dianggarkan bernilai RM2,964 dirampas untuk tindakan lanjut," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohamad Arshad berkata, perbuatan mengimport keluaran pertanian dengan mengemukakan dokumen yang palsu, tidak tepat, dan mengelirukan adalah satu kesalahan mengikut Seksyen 13, Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728).

Katanya, jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Disember 2020 @ 4:44 PM