15 tong ikan dirampas Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Negeri Perlis, di Padang Besar. FOTO IHSAN MAQIS PERLIS
15 tong ikan dirampas Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Negeri Perlis, di Padang Besar. FOTO IHSAN MAQIS PERLIS
Dziyaul Afnan Abdul Rahman


Padang Besar: Sebanyak 525 kilogram (kg) ikan basah yang diisi dalam 15 tong ikan dirampas Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) selepas ia didapati melebihi jumlah dibenarkan permit import.

Dalam kejadian pada 3.30 petang Isnin lalu, anggota MAQIS yang bertugas menahan lori membawa pelbagai jenis ikan basah di Unit Kargo Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Padang Besar.

Pengarah MAQIS Perlis Mohamad Arshad Raffin berkata, bekalan ikan berkenaan dibawa untuk tujuan pemasaran ke dalam negara ini.

"Apabila pemeriksaan dilakukan, anggota kami mendapati muatan ikan basah berkenaan melebihi jumlah yang diikrarkan pada permit MAQIS.

"Kita kemudiannya merampas 15 tong ikan basah seberat 525 kg yang dianggarkan sebanyak RM1,050 untuk tindakan lanjut," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, perbuatan mengimport keluaran pertanian dengan mengemukakan dokumen yang palsu, tidak tepat dan mengelirukan adalah menjadi satu kesalahan.

"Kes ini disiasat mengikut Seksyen 13 Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728) yang boleh dihukum mengikut akta yang sama.

"Jika sabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Disember 2020 @ 1:59 PM