Mohamed Farid Noh


MURID dan pelajar yang kembali ke sekolah hari ini dilihat mematuhi prosedur standard operasi (SOP) ditetapkan kerajaan ketika di dalam kawasan sekolah, namun didapati longgar di luar sebaik tamat sesi pembelajaran.

Tinjauan di sebuah Sekolah Kebangsaan (SK) di sini, mendapati murid hadir ke sekolah seawal jam 6.30 pagi dihantar ibu bapa serta penjaga masing-masing lengkap memakai pelitup muka.

Murid kemudian dilihat menjalani pemeriksaan suhu dan diambil kedatangan di dewan sekolah sebelum memasuki kelas.

Namun sebaik waktu persekolahan tamat dan murid melangkah keluar dari perkarangan sekolah kira-kira jam 12.45 tengah hari, ada murid yang dilihat 'terlupa' mematuhi SOP termasuk tiada penjarakan sosial ketika berbual secara berkumpulan dan menaiki bas.

Seorang ibu, Radiah Saori, 40, berkata dia berharap penjaga serta ibu bapa memberi penekanan terhadap pematuhan SOP bukan sahaja di sekolah malah ketika anak mereka berada di luar perkarangan sekolah.

"Ketika murid berada di kawasan sekolah memang tidak bimbang kerana terdapat guru dan petugas sekolah yang sentiasa mengingatkan mereka di samping terdapat garisan dan laluan berasingan yang disediakan.

"Namun apabila murid keluar mereka mungkin terlupa atau terlalu ghairah bertemu dan berbual dengan rakan-rakan sehingga tiada penjarakan sosial dan bersentuhan.

"Mungkin disebabkan hari ini hari pertama persekolahan menyebabkan murid masih belum membiasakan diri yang mereka bukan sahaja perlu mematuhi SOP di dalam perkarangan sekolah malahan ketika keluar dari sekolah pada sepanjang masa, " katanya.

Sementara itu, bagi seorang bapa, Norhafiz Daud, 39, berkata, menjadi peranan ibu bapa untuk sentiasa mengingatkan anak masing-masing kepentingan pematuhan SOP sepanjang masa.

"Anak saya yang berusia 11 tahun pun memang perlu sentiasa dimaklumkan dari semasa ke semasa kerana sering terlupa mematuhi penjarakan sosial selain tidak gemar memakai pelitup muka dengan alasan tidak selesa.

"Namun sebagai ibu bapa, kita perlu sentiasa mengingatkan kepentingan mematuhi SOP supaya mereka tidak lupa dan benar-benar faham akhirnya," katanya.

KEADAAN murid-murid selepas keluar dari perkarangan sebuah sekolah dilihat kurang pemahaman dalam penjarakan sosial. FOTO Omar Ahmad
KEADAAN murid-murid selepas keluar dari perkarangan sebuah sekolah dilihat kurang pemahaman dalam penjarakan sosial. FOTO Omar Ahmad

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Julai 2020 @ 2:08 PM