Amir Abd Hamid


GURU sudah pun buat yang terbaik untuk melaksanakan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerajaan bagi mencegah penularan pandemik Covid-19 di dalam kawasan sekolah.

Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) Aminuddin Awang berkata, pelaksanaan SOP itu sepatutnya disambut dengan kesinambungannya termasuk penjarakan sosial di luar sekolah oleh ibu bapa dan penjaga.

Beliau berkata, penjarakan sosial dapat dilaksanakan dengan baik di sekolah tetapi ada sedikit masalah bagi mendidik dan menguatkuasakan penjarakan sosial itu bagi murid tahun satu hingga tahun tiga.

"Tetapi itu dianggap sebagai sebahagian cabaran tugas guru. Dalam normal baharu ini, penjarakan sosial itu perlu dibudayakan tanpa mengira tahap umur murid. Itu adalah tanggungjawab dan cabaran guru.

"Apa pun, setakat ini guru menjalankan peranan dengan penuh komited bagi memastikan SOP seperti penjarakan sosial dipatuhi. Peranan guru bagi memastikan proses pengajaran dan pembelajaran berjalan melalui kaedah bersemuka di sekolah dilaksanakan dengan berkesan.

"Ini dibantu lagi dengan penjajaran semula kurikulum oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang bertujuan membantu guru melaksanakan pengajaran dan pembelajaran murid bukan kelas peperiksaan bagi tempoh persekolahan takwim," katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.

Beliau mengulas mengenai reaksi guru dan ibu bapa apabila sekolah sudah dibuka semula sepenuhnya secara berperingkat yang mengikut tahap selepas 'cuti panjang' akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan negara untuk memutuskan penularan Covid-19, pada 18 Mac lalu.

Murid Tahun Lima dan Enam, Tingkatan Satu hingga Empat dan kelas peralihan kembali ke sekolah bermula 15 Julai manakala murid Tahun Satu hingga Empat pula bermula 22 Julai; pembukaan semula prasekolah, tabika, tadika kerajaan dan swasta bermula 1 Julai serta terdahulu sesi persekolahan untuk pelajar Tingkatan 5 dan 6 yang mengambil peperiksaan awam bermula 24 Jun.

Ditanya kebimbangan berkaitan pelanggaran SOP ketika ibu bapa atau penjaga mengambil anak selepas tamat sesi persekolahan, Aminuddin berkata itu adalah di luar kawalan pihaknya.

GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.

"Itu di luar kawalan dan kuasa guru sebab banyak berlaku di luar sekolah. Dalam hal ini, menjadi tanggungjawab ibu bapa dan masyarakat sendiri memainkan peranan menyokong usaha memutuskan rantaian Covid-19 melalui amalan penjarakan sosial.

"Pada pandangan saya tidak perlulah sehingga pihak sekolah terpaksa meminta bantuan polis sebab mereka ada banyak lagi tanggungjawab besar lain.

"Lagi pun, jika ada kawalan (polis) di luar pagar sekolah pun, apa akan jadi seterusnya jika sudah jauh dari sekolah? Yang penting, kesedaran penjarakan sosial itu perlu dipupuk dalam kalangan ibu bapa. Budak-budak (murid dan pelajar) pun boleh buat ikut SOP tiada masalah, sepatutnya ibu bapa yang lebih matang juga begitu ikut arahan untuk kebaikan semua pihak," katanya.

Sementara itu, Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN) Prof Madya Datuk Dr Mohamad Ali Hasan berkata, secara keseluruhannya guru dan ibu bapa serta penjaga menyambut baik serta rasa lega atas kesiapsiagaan sebelum sesi persekolahan bermula.

"Anak-anak memang kebanyakannya sudah ternanti-nanti dan penuh semangat untuk belajar semula serta menemui rakan sekelas mereka belajar bersemuka selepas hampir lima bulan 'terkurung'.

"Ibu bapa atau penjaga pun memang teruja, mahu bekerjasama sepenuhnya bersama warga sekolah untuk memastikan persekitaran suasana pembelajaran dan pengajaran selamat, sihat, tenteram serta selesa seperti sedia kala," katanya.

Katanya, ibu bapa perlu memastikan anak mereka berada dalam keadaan sihat dan mungkin ibu bapa dan penjaga yang berkemampuan patut bantu sekolah menyediakan kelengkapan seperti pelitup muka, pembersih kuman dan pembaca suhu untuk kegunaan harian.

Selain itu, katanya, wajar juga bagi pihak ibu bapa yang berkesempatan menyediakan makanan dari rumah sekali gus boleh mengelakkan kesesakan pada waktu rehat.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Julai 2020 @ 3:12 PM