Datuk Kamarudin Jaffar.
Datuk Kamarudin Jaffar.
Oleh Muhaamad Hafis Nawawi


TIADA warganegara Malaysia yang dilaporkan dijangkiti Covid-19 di Beijing, China dan setakat ini, keadaan di republik terbabit terkawal.

Timbalan Menteri Luar Negeri Datuk Kamarudin Jaffar berkata, Kementerian Luar Negeri, melalui Kedutaan Besar Malaysia di Beijing, sedang memantau penularan terkini Covid-19 di beberapa lokasi di Beijing.

Menurutnya, semua warganegara Malaysia di Beijing harus mematuhi peraturan saringan kesihatan tempatan yang berkaitan, dan disarankan untuk mengelakkan perjalanan yang tidak penting ke daerah terjejas.

"Warganegara Malaysia yang tinggal di Beijing atau yang sedang merancang perjalanan dari atau ke Beijing juga dinasihati untuk terus mengambil langkah berjaga-jaga yang ditetapkan.

"Kementerian turut menggalakkan semua warganegara Malaysia di China untuk mengambil kira kemungkinan gangguan kepada perkhidmatan pengangkutan dan merancang perjalanan masing-masing," katanya pada kenyataan hari ini.

Kamarudin berkata, warganegara Malaysia di China juga digalakkan untuk memaklumkan kepada kedutaan atau konsulat jeneral berhampiran berkaitan individu yang boleh dihubungi jika berlaku kecemasan.

Ia boleh dilakukan melalui pautan https://is.gd/MyCn2020.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Jun 2020 @ 5:32 PM