KANAK-KANAK bermain di Tembok Besar China, di Badaling, utara Beijing pada 15 Disember lalu. FOTO AFP
KANAK-KANAK bermain di Tembok Besar China, di Badaling, utara Beijing pada 15 Disember lalu. FOTO AFP
Reuters

Beijing: Ibu negara China, Beijing, merekodkan suhu di bawah sifar selama berjam-jam selepas gelombang sejuk melanda seluruh negara dan membawa ribut salji sekali gus menjadikan suhu ke paras terendah dalam sejarah.

Sehingga Ahad lalu, balai cerap cuaca di Beijing merekodkan lebih 300 jam suhu di bawah paras beku sejak 11 Disember lalu, paling banyak untuk bulan itu sejak rekod bermula pada 1951, lapor Beijing Daily.

Rekod terbaharu itu juga memecahkan rekod suhu pada Disember sejak 1951.

PEKERJA menolak salji di Tembok Besar China, di Badaling, utara Beijing pada 15 Disember lalu. FOTO AFP
PEKERJA menolak salji di Tembok Besar China, di Badaling, utara Beijing pada 15 Disember lalu. FOTO AFP

Bahagian utara dan timur laut negara mengalami kesejukan yang memecahkan rekod sejak minggu lalu, dengan beberapa kawasan di timur laut mencecah - 40 darjah Celsius dan ke bawah, apabila udara sejuk tiba dari Artik.

Beijing juga mengalami sembilan hari berturut-turut suhu di bawah -10 darjah Celsius sepanjang tempoh itu.

Beberapa bandar di wilayah Henan tengah China, barat daya Beijing turut berada dalam cengkaman masalah bekalan pemanasan untuk musim sejuk dengan pembekal kuasa haba di bandar Jiaozuo bergelut untuk memastikan permintaan bekalan tenaga dapat dipenuhi.

PEKERJA menolak salji di sebuah taman di Beijing, pada 22 Disember lalu. FOTO Reuters
PEKERJA menolak salji di sebuah taman di Beijing, pada 22 Disember lalu. FOTO Reuters

Dandang pemanas di JiaoZuo WanFang Aluminium Manufacturing, salah satu pembekal utama di bandar rosak sehingga menyebabkan beberapa kawasan memerlukan lebih banyak bekalan haba, lapor media kerajaan, semalam.

Pembekal itu sedang sibuk memperbaiki kerosakan dan menjangkakan untuk menyambung semula bekalan pada esok (26 Disember).

Bandar ini akan menggantung bekalan haba untuk kebanyakan perniagaan kecuali penyedia perkhidmatan penting seperti hospital untuk mengutamakan penggunaan haba bagi kediaman.

PENDUDUK berpakaian tebal ketika berjalan-jalan di Beijing.
PENDUDUK berpakaian tebal ketika berjalan-jalan di Beijing.

Kerajaan tempatan di Henan - Puyang dan Pingdingshan, juga menggantung bekalan haba kepada jabatan kerajaan dan institusi pentadbiran untuk mengutamakan penggunaan kediaman.

Udara panas dijangka bergerak dari utara ke selatan negara itu seterusnya menaikkan suhu, mulai hujung minggu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Disember 2023 @ 12:24 PM