GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Muhaamad Hafis Nawawi


TIADA warganegara Malaysia dilaporkan dijangkiti Covid-19 di Beijing dan di China setakat ini dan situasi pada masa ini terkawal.

Timbalan Menteri Luar Negeri, Datuk Kamarudin Jaffar berkata, Kementerian Luar Negeri melalui Kedutaan Besar Malaysia di Beijing sedang memantau rapi penularan terkini wabak Covid-19 di beberapa lokasi di Beijing.

Menurutnya, semua warganegara Malaysia di Beijing harus mematuhi peraturan saringan kesihatan tempatan yang berkaitan dan disarankan untuk mengelakkan perjalanan tidak penting ke daerah terjejas.

"Warganegara Malaysia yang tinggal di Beijing atau sedang merancang perjalanan dari atau ke Beijing dinasihatkan untuk terus mengambil langkah berjaga-jaga ditetapkan.

"Kementerian turut menggalakkan semua warganegara Malaysia di China untuk mengambil kira kemungkinan gangguan kepada perkhidmatan pengangkutan apabila merancang perjalanan masing-masing," katanya dalam satu kenyataan di Kuala Lumpur, hari ini.

Kamarudin berkata, warganegara Malaysia di China digalakkan untuk memaklumkan kepada kedutaan atau konsulat Jeneral berhampiran mengenai orang boleh dihubungi dalam kes kecemasan, sekiranya belum melakukannya lagi.

Beliau berkata, ia boleh dilakukan melalui pautan https://is.gd/MyCn2020.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Jun 2020 @ 5:01 PM