Balqis Jazimah Zahari


PERAK menerima 1,030 tempahan bilik hotel membabitkan 40 pengusaha penginapan sejak Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Ahad lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan negeri, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi berkata, jumlah tempahan hotel berkenaan membabitkan kawasan Ipoh, Pangkor dan Taiping,

"Kami mempunyai lebih 100 pengusaha hotel berdaftar dengan pihak MOTAC (Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya) sebagai pengusaha penginapan di negeri ini.

"Jumlah tempahan itu melalui 40 pengusaha yang kita hubungi setakat ini dan sebenarnya masih banyak belum dibuka lagi," katanya

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Program Garis Panduan Amalan Terbaik Produk Pelancongan Negeri Perak Pasca Covid-19 di Ipoh, hari ini.

Pulau Pangkor, destinasi pelancongan terkemuka di Perak. FOTO NSTP
Pulau Pangkor, destinasi pelancongan terkemuka di Perak. FOTO NSTP

Hadir sama, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Azmi Osman; Pengurus Besar Lost World Of Tambun (LWOT), Nurul Nuzairi Mohd Azahari dan Presiden Persatuan Pelancongan Negeri Perak (PTA), Datuk Mohd Odzman Abd Kadir.

Nolee Ashilin berkata, pihaknya pada ramalan awal tidak menjangkakan orang ramai keluar melancong dengan begitu cepat ketika Covid-19 ini.

Beliau berkata, tetapi apabila pergerakan merentas negeri dibenarkan bermula semalam, sambutan lebih menggalakkan daripada orang ramai dapat dilihat di seluruh negara.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Jun 2020 @ 5:10 PM