MUHAMMAD SANUSI MD NOR
MUHAMMAD SANUSI MD NOR

Noorazura Abdul

KONTRAKTOR di Kedah dinasihatkan tidak mengamalkan konsep "ali baba" bagi memastikan kualiti projek dapat dilaksanakan dengan baik selain menggalakkan mereka mendapat keuntungan yang tinggi.

Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor berkata, tindakan menjual projek kepada kontraktor lain atau dilaksanakan secara sub kontraktor dibimbangi akan memberi kesan terhadap projek yang dijalankan.

"Apabila beri projek kepada pihak lain, kualiti hasil kerja pun kurang, walaupun ketika ini kerajaan negeri tidak menetapkan sebarang peraturan yang tidak membenarkan pelantikan sub kontraktor dibuat tapi kalau boleh jangan jadi 'ali baba'.

"Buat sendiri dapat rezeki lebih sikit dan kalau (pihak ketiga) tak patuh syarat, nanti lesen mereka juga yang terjejas," beliau berkata demikian selepas Majlis Cabutan Kerja Undi Secara Dalam Talian Bagi Projek MARRIS Dan Pakej Rangsangan Ekonomi Negeri Kedah di Wisma Darul Aman di Alor Setar, hari ini.

Muhammad Sanusi berkata, sebanyak 413 projek berjumlah RM35.8 juta ditawarkan dalam majlis cabutan undi hari ini membabitkan kerja jalan, bangunan dan elektrik.

Mengenai pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di Kedah, katanya, kerajaan negeri akan mengikut apa sahaja prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan pusat termasuk sektor pelancongan di Langkawi khususnya.

"Kita seronok bila orang masuk ke Langkawi kerana ia ibarat 'dilanggar garuda' bila tidak ada orang datang, namun kita nak nasihatkan orang ramai supaya mematuhi SOP supaya kita tak perlu kembali ke belakang (Perintah Kawalan Pergerakan)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Jun 2020 @ 3:35 PM