Nor Fazlina Abdul Rahim


Kota Bharu: Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) meluluskan peruntukan tambahan sebanyak RM66 juta bagi melaksanakan 802 projek pemuliharaan sungai sekali gus mengurangkan risiko banjir di seluruh negara.

Menterinya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, ia adalah tambahan kepada peruntukan sedia ada yang diluluskan oleh Unit Perancang Ekonomi (UPE) sebanyak RM80.3 juta untuk pelaksanaan 615 projek.

Katanya, kesemua 802 projek itu bagi menangani dan mengurangkan impak kejadian banjir kepada rakyat menerusi pelaksanaan projek pemuliharaan tebing sungai, naik taraf sistem saliran dan kerja-kerja kecemasan luar jangka.

"Kita menganggarkan seramai 500,000 penduduk di kawasan yang dikenal pasti akan menerima manfaat apabila kesemua projek berkenaan siap menjelang akhir 2020.

"Bagi memastikan pelaksanaan 802 projek ini dapat memacu pertumbuhan ekonomi setempat, kaedah perolehan yang digunakan adalah melalui sebut harga dan undian membabitkan projek berskala kecil.

"Bagi projek bernilai RM100,000 ke bawah, perolehan projek adalah melalui kaedah undian, manakala yang bernilai RM800,000 ke bawah, ia melalui kaedah sebut harga," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas hadir di majlis cabutan undi bagi kerja-kerja di bawah peruntukan KASA bagi jajahan Kota Bharu, di sini, hari ini.

Katanya, pihaknya berharap projek berkenaan diharap dapat berjalan secepat mungkin dan mampu disiapkan mengikut jadual.

DATUK Tuan Ibrahim Tuan Man membuat cabutan nombor undi kontraktor yang berdaftar ketika hadir selepas merasmikan Majlis Cabutan Undi. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
DATUK Tuan Ibrahim Tuan Man membuat cabutan nombor undi kontraktor yang berdaftar ketika hadir selepas merasmikan Majlis Cabutan Undi. FOTO Nik Abdullah Nik Omar

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 September 2020 @ 2:56 PM