MUHAMMAD Sanusi. FOTO Arkib NSTP
MUHAMMAD Sanusi. FOTO Arkib NSTP
Noorazura Abdul Rahman


Sik: Kerajaan negeri terpaksa menangguhkan kerja membaik pulih saluran paip dasar laut di Langkawi yang bocor sebelum ini sehingga proses pengauditan projek bernilai RM50 juta berkenaan selesai.

Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, audit integriti terbabit perlu dilakukan bagi memastikan kerja baik pulih saluran paip dasar laut dari tanah besar ke Langkawi itu adalah efisien bagi mengelak berlaku kebocoran baharu berlaku.

Katanya, berikutan itu kerajaan negeri terpaksa memohon peruntukan tambahan daripada kerajaan Persekutuan bagi melakukan kerja audit yang perlu siap disiapkan segera sebelum projek pembaikan dapat dimulakan kembali.

"Jika kita tidak menjalankan audit integriti pada saluran paip, terdapat risiko tekanan air yang kuat akan menyebabkan kebocoran baharu berlaku pula pada saluran paip berkenaan.

"Jadi, kita perlu menjalankan proses audit terlebih dahulu bagi menyakinkan saluran paip itu selamat untuk kerja pembaikan, jika tidak kita akan bazir RM50 juta yang bakal dibelanjakan bagi baik pulih 23 lubang yang dikesan sepanjang saluran itu," katanya ketika ditemui pada Majlis Mesra Aidilfitri Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Muhammad Sanusi berkata, pihaknya dimaklumkan syarikat yang mempunyai kepakaran melaksanakan audit integriti itu adalah kontraktor yang berpangkalan di Belanda.

"Saya sudah bangkitkan perkara ini kepada Kementerian Alam Sekitar dan Air. Saya diberitahu bahawa proses itu akan mengambil masa yang agak lama untuk diproses mengikut prosedur pelantikan tender biasa.

"Kementerian juga mencadangkan pelantikan dibuat mengikut prosedur kecemasan, jadi saya harap pelantikan kontraktor audit akan dilakukan secepat mungkin," katanya yang memberi jaminan bekalan air terawat di Langkawi adalah mencukupi kerana terdapat empangan di Bukit Malut .

Pada Ogos 2020, Sanusi dilaporkan berkata kerajaan negeri memohon geran daripada Kerajaan Persekutuan untuk menjalankan kerja pembaikan saluran paip air terawat dasar laut dari tanah besar ke Langkawi.

Beliau berkata, kerja membaiki 23 lubang di sepanjang saluran paip sepanjang tiga kilometer terbabit akan membantu menjimatkan 20 juta liter air tidak terhasil (NRW) setiap hari iaitu separuh daripada jumlah isi padu air yang dibekalkan ke pulau itu.

Berikutan itu, Kerajaan Persekutuan meluluskan peruntukan RM50 juta bagi melakukan kerja baik pulih berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 Mei 2022 @ 7:01 PM