Nor Fazlina Abdul Rahim

Kota Bharu: Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) memperuntukkan RM89.2 juta menerusi Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (Pemerkasa) untuk pemuliharaan sungai dan mengurangkan risiko banjir di seluruh negara.

Menterinya Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, daripada keseluruhan peruntukan itu, sebanyak RM8.25 juta disediakan untuk Projek Pemuliharaan Sungai bagi mengatasi risiko banjir di Kelantan.

"Perolehan kerja akan dilaksanakan secara undian. Tawaran kerja undi pada tahun ini juga akan dilaksanakan dengan lebih banyak berbanding tahun lalu iaitu sebanyak 247 kerja di semua 10 jajahan di Kelantan.

"Hasrat utama kerajaan adalah melihat sektor ekonomi domestik terus digerakkan. Saya percaya melalui kaedah pemilihan secara undian akan dapat memastikan bahawa proses pelantikan kontraktor dapat disempurnakan secara terbuka dan telus.

"Kami akan bertindak tegas dalam perkara ini bagi meminimumkan bilangan projek sakit, termasuk menamatkan kontrak atau membuat penyenaraian hitam terhadap kontraktor yang gagal memenuhi syarat dipersetujui," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Cabutan Undi Perdana Kerja-Kerja Di bawah Peruntukan KASA bagi Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri Kelantan, di sini, hari ini.

TUAN Ibrahim menyampaikan ucapan sebelum membuat cabutan peti undi tender untuk diberikan kepada kontraktor ketika merasmikan Majlis Cabutan Undi Perdana Kerja-Kerja Di bawah Peruntukan KASA bagi Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri Kelantan. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
TUAN Ibrahim menyampaikan ucapan sebelum membuat cabutan peti undi tender untuk diberikan kepada kontraktor ketika merasmikan Majlis Cabutan Undi Perdana Kerja-Kerja Di bawah Peruntukan KASA bagi Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri Kelantan. FOTO Nik Abdullah Nik Omar

Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim berkata, dua projek utama Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) di Kelantan sudah mendapat peruntukan melebihi RM1.28 billion iaitu membabitkan projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Kelantan Fasa 1 berjumlah RM624 juta dan PLSB Sungai Golok Fasa 1 berjumlah RM656 juta.

Selain itu katanya, terdapat projek sambungan dalam Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12) berbentuk kajian dengan kos projek berjumlah RM8.6 juta yang diluluskan dan sedang dalam peringkat pra-pelaksanaan.

"Ia membabitkan pembangunan pelan induk Rancangan Tebatan Banjir Lembangan Sungai Melor, Kelantan dan pembangunan pelan Induk Rancangan Tebatan Banjir Lembangan Sungai Buaya Ikat.

"Di samping itu terdapat juga projek-projek baharu dalam RMK-12 berbentuk pembangunan fizikal dan kajian yang lain dengan jumlah kos projek berjumlah RM27.5 juta," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 April 2021 @ 7:07 PM