SUPERINTENDAN Sulizmie Affendy Sulaiman sedang memerika pengguna ketika SJR. FOTO ROSMAN SHAMSUDIN.
SUPERINTENDAN Sulizmie Affendy Sulaiman sedang memerika pengguna ketika SJR. FOTO ROSMAN SHAMSUDIN.
Rosman Shamsudin


GAGAL menunjukkan surat kebenaran rentas negeri dan memberi alasan yang tidak munasabah menyebabkan 61 pemandu dikenakan kompaun RM 1,000 serta diarah berpatah balik sehari sebelum Aidilfitri sehingga 2 petang semalam.

Tindakan kompaun dikenakan kepada pemandu ketika merentas negeri melalui Sekatan Jalan Raya (SJR) di Kilometer 388 Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) arah utara dan SJR di Kilometer 126 Jalan Persekutuan Ipoh Kuala Lumpur dekat Taman Universiti berhampiran sempadan Tanjung Malim, Perak dan Hulu Bernam, Selangor.

Ketua Polis Daerah Muallim, Superintendan Sulizmie Affendy Sulaiman berkata antara alasan yang diberikan pemandu ialah tindakan kompaun rentas negeri hanya dikenakan kepada orang Melayu sahaja yang mahu pulang ke kampung untuk menyambut Aidilfitri.

Katanya, ada juga pemandu yang memberi alasan mahu menjenguk rumah ibu bapa yang dilanda banjir kilat, namun apabila pihak polis membuat pemeriksaan di tempat terbabit mendapati sudah seminggu banjir kilat itu berlalu.

"Ada juga pemandu yang dikenakan kompaun itu memaklumkan SJR hanya dilakukan pada hari raya pertama sahaja menyebabkan beliau memandu merentas negeri.

"Pihak polis juga mempunyai budi bicara terutama bagi mereka yang mempunyai kes kecemasan tetapi yang mendukacitakan kepada mereka yang tidak peka dengan perkembangan semasa," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui SJR di Kilometer 126 Jalan Persekutuan Ipoh- Kuala Lumpur arah Selatan, Tanjung Malim, semalam.

Sulizmie berkata pihak polis juga melakukan pemeriksaan dari rumah ke rumah terutama yang mempunyai kenderaaan yang banyak, namun tiada pemilik rumah dikenakan kompaun.

Katanya, pihak polis akan terus meningkatkan kawalan melalui SJR yang dilakukan di dua lokasi utama itu bagi memastikan tiada pemandu yang cuba merentas negeri tanpa kebenaran bagi memastikan prosedur operasi standard (SOP) Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dipatuhi semua pihak.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Mei 2020 @ 1:02 PM