POLIS mengadakan pemeriksaan di dua laluan tikus yang digunakan penduduk Kedah untuk cubaan rentas negeri masuk Pulau Pinang. FOTO ihsan PDRM
POLIS mengadakan pemeriksaan di dua laluan tikus yang digunakan penduduk Kedah untuk cubaan rentas negeri masuk Pulau Pinang. FOTO ihsan PDRM
Nur Izzati Mohamad


MERENTAS negeri menggunakan laluan tikus bagi mengelak melalui pemeriksaan di sekatan jalan raya (SJR) di sempadan negeri Pulau Pinang dan Kedah.

Itu perbuatan segelintir individu dari Kedah apabila melakukan cubaan rentas negeri ke Pulau Pinang yang berjaya dikesan pihak polis.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, sebanyak 24 kompaun dikeluarkan terhadap individu yang dikesan merentas negeri melalui laluan tikus sejak Rabu lalu hingga hari ini.

Menurutnya, pihaknya menemui dua laluan tikus di sekitar Tasek Gelugor yang digunakan penduduk Kedah melalui pemantauan dibuat.

"Tindakan pantas diambil untuk mengekang cubaan rentas negeri apabila polis mengadakan operasi di laluan terbabit.

"Kesemua mereka dikenakan kompaun selepas gagal mengemukakan surat kebenaran merentas negeri dan alasan munasabah selain melanggar Akta 342," katanya.

Katanya, penduduk yang berada berhampiran sempadan Kedah/Pulau Pinang dinasihatkan mendapatkan surat kebenaran untuk melakukan pergerakan rentas negeri.

"Masyarakat harus akur pada Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) walaupun sudah terbiasa melakukan urusan seharian di kawasan sempadan yang berhampiran," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 Mei 2020 @ 3:35 PM