SULIZMIE (depan) melakukan pemeriksaan terhadap pemandu kenderaan di Jalan Besar Tanjung Malim. FOTO Rosman Shamsudin
SULIZMIE (depan) melakukan pemeriksaan terhadap pemandu kenderaan di Jalan Besar Tanjung Malim. FOTO Rosman Shamsudin
Rosman Shamsudin


PIHAK polis menerima pelbagai alasan daripada orang ramai dekat Muallim ketika Sekatan Jalan Raya (SJR) dan Unit Ronda Cegah Jenayah (RCJ) sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan 18 Mac lalu.

Ketua Polis Daerah Muallim, Superintendan Sulizmie Affendy Sulaiman berkata, polis perlu mengambil tindakan sewajarnya apabila alasan atau sebab yang diberikan tidak munasabah dan individu itu gagal menunjukkan apa-apa dokumen.

Katanya, ada yang merayau dan memberi alasan ke tempat kerja tetapi apabila ditanya lagi, memberi alasan hendak membeli barang pula.

Sejak PKP dikuatkuasakan 18 Mac lalu, 16 lelaki berumur antara 20 hingga 60 tahun ditahan kerana ingkar PKP mengikut Peraturan 7 (1) Peraturan-Peraturan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit) Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020.

Jumlah itu membabitkan tujuh warga Malaysia dan sembilan warga negara asing termasuk empat individu tidak mempunyai dokumen lengkap dan lima orang lagi tamat tempoh kerja.

“Hari ini, Makamah Majistret Slim River menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM1,000 kepada 10 orang yang ingkar PKP membabitkan enam warga negara asing dan empat warga Malaysia,” katanya ketika sidang media di SJR dekat Jalan Besar Tanjung Malim, hari ini.

Manakala, enam lagi lelaki masih ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muallim.

Sulizmie, 43, yang sebelum ini bertugas sebagai Timbalan Ketua Polis Daerah Seremban, Negeri Sembilan dinaikkan pangkat sebagai Ketua Polis Daerah Muallim berkuat kuasa 26 Mac lalu menggantikan Superintendan Wan Kamarul Azran Wan Yusof yang juga dinaikkan pangkat dan ditukarkan ke Ibu Pejabat Polis Daerah Sepang, Selangor.

Beliau berkata, pihak polis serius dalam memastikan orang ramai mematuhi PKP fasa kedua dalam usaha menangani dan mengekang wabak Covid-19.

Katanya, dalam tempoh PKP yang berbaki 12 hari lagi, pihak polis akan meningkatkan penguatkuasaan PKP melalui RCJ dan enam SJR di daerah ini.

“Pihak polis tidak teragak-agakmengambil tindakan terhadap mana-mana individu yang melanggar PKP dengan alasan yang tidak munasabah untuk keluar rumah,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 April 2020 @ 1:32 PM