Asisten Komisioner Beh Eng Lai memeriksa kenderaan di SJR Sungai Rambai, hari ini. FOTO AMIR MAMAT
Asisten Komisioner Beh Eng Lai memeriksa kenderaan di SJR Sungai Rambai, hari ini. FOTO AMIR MAMAT
Amir Mamat


POLIS negeri ini mengeluarkan 57 kompaun terhadap individu yang cuba merentas negeri sejak hari raya pertama pada 24 Mei sehingga semalam.

Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti negeri Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, selain itu, 68 kompaun lagi dikeluarkan kerana berhimpun serta kesalahan lain ketika Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dikuatkuasakan.

Beliau berkata, Melaka antara negeri yang mengeluarkan kompaun yang agak tinggi kepada individu yang cuba merentas negeri.

"Kita akan meneliti satu persatu kenderaan dan dokumen di mana kenderaan yang tiada permit polis akan diarah berpatah balik serta-merta.

"Ada dalam kalangan mereka memberi pelbagai alasan dan helah untuk merentas negeri kerana tidak mahu dikompaun, namun gagal memperdaya pihak berkuasa," katanya selepas meninjau sekatan jalan raya (SJR) di Sungai Rambai di sini, hari ini.

Turut hadir Ketua Polis Daerah Jasin Deputi Superintendan Mispani Hamdan.

Eng Lai berkata, jumlah pemandu yang ingin masuk ke Melaka, sama ada melalui tol atau jalan Persekutuan, lebih tinggi berbanding mereka yang mahu keluar dari negeri berkenaan.

Sehubungan itu, katanya, pihaknya akan meningkatkan kawalan di semua laluan, termasuk laluan tikus atau laluan strategik yang dipercayai akan digunakan untuk merentas negeri tanpa kebenaran.

Sebelum ini, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan, Melaka mencatatkan cubaan rentas negeri tertinggi dengan 886 kes diikuti Perak dengan 362 kes dan Pulau Pinang 284 kes.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Mei 2020 @ 8:19 PM