ABANG Johari ditemui selepas Majlis Penyerahan Sumbangsih Raya-Gawai 2020 di Wisma Bapa Malaysia, Petra Jaya.FOTO Nadim Bokhari
ABANG Johari ditemui selepas Majlis Penyerahan Sumbangsih Raya-Gawai 2020 di Wisma Bapa Malaysia, Petra Jaya.FOTO Nadim Bokhari
Mohd Roji Kawi

SARAWAK berpegang kepada Ordinan Perlombongan Minyak (OMO) 1958 untuk mengawal selia aktiviti perlombongan minyak dan gas di negeri ini.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg berkata, walaupun Akta Pembangunan Petroleum (PDA) 1974 diiktiraf di peringkat Persekutuan, namun di Sarawak aktiviti perlombongan minyak dan gas masih tertakluk kepada undang-undang negeri iaitu OMO 1958.

Beliau berkata, mahkamah sudah memutuskan Sarawak mempunyai hak untuk mengawal selia aktiviti minyak dan gas di negeri ini berdasarkan OMO 1958.

"PDA bukanlah satu bentuk perjanjian, tetapi ia adalah akta yang diguna pakai untuk negara, namun pada masa yang sama Sarawak juga memiliki undang-undang berkaitan minyak dan gas yang diiktiraf.

"Ini yang tidak difahami sehingga timbulnya tuduhan dan andaian yang tidak tepat mengenai PDA dan OMO," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Sumbangsih Raya-Gawai 2020 di Wisma Bapa Malaysia, Petra Jaya hari ini.

Berikutan itu, katanya, Sarawak akan menyusun semula undang-undang kawal selia aktiviti perlombongan minyak dan gas.

"Perkara itu masih dalam rundingan bersama Kerajaan Persekutuan dan Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS) menerusi jawatankuasa yang dibentuk baru-baru ini.

"Jawatankuasa itu dipengerusikan oleh Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof dan Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Mei 2020 @ 4:44 PM