ABANG Johari berucap pada majlis penyerahan Surat Pengecualian Kawal Selia LPG di Sarawak di Wisma Bapa Malaysia, Petra Jaya. FOTO BERNAMA
ABANG Johari berucap pada majlis penyerahan Surat Pengecualian Kawal Selia LPG di Sarawak di Wisma Bapa Malaysia, Petra Jaya. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Kuching: Pengecualian kepada pengedar gas petroleum cecair (LPG) di Sarawak untuk memohon kebenaran dan lesen bagi pengedarannya dapat mengurangkan kerenah birokrasi dalam aktiviti pengedaran serta kawal selia gas di negeri itu.

Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, pengecualian yang berkuat kuasa pada 1 Jun lalu itu juga merupakan pengiktirafan kepada kemampuan organisasi korporat Sarawak untuk mengawal selia industri gas.

"Pengecualian ini merupakan pengiktirafan kemampuan organisasi korporat Sarawak untuk mengawal selia dan mempunyai keterlibatan lebih bermakna dalam industri minyak dan gas negara ini.

"Ia juga membolehkan Sarawak mengambil peranan lebih aktif dalam industri minyak dan gas sepertimana aspirasi kerajaan negeri selama ini," katanya dalam ucapan pada majlis penyerahan surat pengecualian kawal selia LPG negeri Sarawak di sini, hari ini.

Pada 31 Mei lalu, Kerajaan Persekutuan bersetuju untuk memberikan pengecualian kepada pengedar LPG di Sarawak untuk memohon kebenaran dan lesen bagi pengedaran LPG di negeri itu bermula 1 Jun.

Menerusi pengecualian itu, pemborong dan peruncit LPG di Sarawak hanya memerlukan lesen 'Distribution of Gas Ordinance' (DGO) sahaja daripada Kementerian Utiliti Sarawak dan tidak lagi perlu memohon kebenaran di bawah Akta Kemajuan Petroleum 1974 (PDA) dan Lesen di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 (CSA) daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

Sementara itu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, keputusan pengecualian tersebut dibuat berdasarkan persefahaman supaya Sarawak dapat mengawal selia sendiri dan lebih terbabit dalam tadbir urus industri minyak dan gas di negeri itu.

"Pada masa yang sama, kita harap keputusan ini juga dapat meningkatkan kemudahan menjalankan perniagaan, yang pastinya akan memberi impak ekonomi positif dalam bentuk pelaburan setempat serta meningkatkan kerancakan aktiviti perdagangan domestik," katanya dalam ucapannya pada majlis sama.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 September 2021 @ 5:03 PM