LIMA kru kapal tangki yang ditahan APMM di perairan Miri petang semalam. FOTO APMM
LIMA kru kapal tangki yang ditahan APMM di perairan Miri petang semalam. FOTO APMM
Mohd Roji Kawi


Kuching : Bukan sahaja tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri, lima kru termasuk nakhoda sebuah kapal tangki dikesan cuba menyeleweng minyak bersubsidi.

Perbuatan lima kru kapal tangki terbabit dikesan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Miri, petang semalam.

Pengarah Zon Maritim Miri Kepten Maritim Mohd Shafie Paing berkata, kapal terbabit ditahan ketika pasukan kapal ronda APMM melakukan rondaan rutin di perairan Miri.

Beliau berkata, kapal tangki itu ditahan di kedudukan 17.5 batu nautika di barat Tanjung Lobang.

"Kapal tangki itu disyaki melakukan kesalahan mengikut Ordinan Perkapalan Saudagar 1952/60 iaitu lesen tamat tempoh.

"Kesemua kru termasuk nakhoda warga negara jiran yang berusia antara 23 sehingga 34 tahun gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah semasa diperiksa.

"Kapal terbabit turut disyaki melakukan kesalahan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana membawa minyak bersubsidi dan tiada

borang PDA," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Shafie berkata, kesemua kru dan kapal tangki berkenaan diiring ke Jeti Pusat Tahanan Vesel (PTV) Pulau Melayu, Miri untuk tindakan lanjut.

"APPM terus komited dalam menguatkuasakan undang-undang dan tidak akan berkompromi ke atas pesalah yang ingkar.

"Sebarang aduan dan kecemasan di laut secara terus melalui talian Malaysian Emergency Response Services (MERS) 999 atau Pusat Operasi Maritim Zon Maritim Miri di talian 085-418204 dan Pusat Operasi Maritim Negeri Sarawak 082-432544/ 082-432016 yang beroperasi 24 jam," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 Ogos 2023 @ 4:52 PM