Sim Kui Hian
Sim Kui Hian
Roji Kawi


Kuching: Sarawak menuntut enam telaga minyak dan gas yang ditemui Petroliam Nasional Berhad (Petronas) di perairan wilayah itu.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Seri Dr Sim Kui Hian berkata, Sarawak mempunyai hak terhadap telaga minyak itu mengikut Ordinan Perlombongan Minyak (OMO) 1958.

Menurutnya, Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg akan mengadakan pertemuan dengan Petronas dalam masa terdekat bagi membincangkan tuntutan itu.

"Telaga minyak dan sumber asli lain ditemui di wilayah Sarawak, jadi ia adalah milik Sarawak.

"Kerajaan Sarawak yakin sumber minyak dan gas yang berada dalam lingkungan 200 batu nautika dalam perairan Sarawak adalah milik negeri ini," katanya.

Dr Sim berkata demikian dipetik dari laporan sebuah akhbar tempatan Sarawak ketika beliau menghadiri majlis makan tengah hari untuk Duta China ke Malaysia, Ouyang Yujing, di sini, semalam.

Pada 24 Julai lalu, PETRONAS Carigali Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh PETRONAS mengumumkan penemuan enam telaga minyak dan gas di lima blok di luar pantai Sarawak.

Penemuan itu membabitkan telaga Gedombak di Blok SK306 dan Mirdanga di Blok SK411 (di wilayah Balingian), Sinsing di Blok SK313, telaga Machinchang dan Pangkin di Blok SK301B, dan telaga Kalung Emas di Blok SK315 (di wilayah West Luconia).

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Ogos 2023 @ 1:11 PM