KEADAAN kedai runcit yang dipecah masuk penyamun di Mersing. FOTO NSTP
KEADAAN kedai runcit yang dipecah masuk penyamun di Mersing. FOTO NSTP
Omar Ahmad


PEMILIK kedai runcit di pusat bandar Mersing, Johor kerugian lebih RM3,000 selepas premis itu dipecah masuk penjenayah awal pagi ini.

A Sree Subramaniam, 60, berkata dalam kejadian kira-kira 4.15 pagi itu, selain wang tunai RM200, penjenayah turut melarikan sebahagian besar rokok di rak jualan.

Katanya yang juga pengedar surat khabar kumpulan NSTP, ketika kejadian dia berada di rumahnya dan hanya mengetahui kedai dipecah masuk ketika mahu memulakan perniagaan jam 7 pagi ini.

"Jiran memberitahu dia menyangkakan saya atau anak datang melihat kedai pada jam 4.15 pagi, tetapi tidak menyangka pada ketika itu sebenarnya kedai sedang dipecah masuk.

"Mereka memaklumkan ada sebuah motosikal diletakkan di hadapan kedai saya dan pintu kedai terbuka sedikit," katanya ketika dihubungi.

Katanya, dia mendapati pintu kedainya dipecah dan keadaan di dalam premis berselerak.

"Saya membuat pemeriksaan dan mendapati penjenayah melarikan wang tunai RM200 serta barangan runcit tetapi yang banyak dilarikan ialah rokok di rak jualan," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Mersing, Superintendan Cyril Edward Nuing mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian.

"Terdapat kesan potong pada kunci mangga kedai dan kes disiasat mengikut Seksyen 453 Kanun Keseksaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Mei 2020 @ 3:44 PM