Enam lelaki yang menyamun kedai serbaneka 24 jam di sebuah pusat membeli-belah di bandar ini, awal pagi kelmarin, berjaya diberkas polis susulan pendedahan dibuat seorang daripada mereka yang terlebih dulu dicekup selepas gerakan mengesan penjenayah terbabit dilancarkan.

Semua suspek berusia antara 16 hingga 21 tahun terbabit ditahan secara berasingan di sekitar bandar ini antara jam 10.30 pagi hingga 5 petang, kelmarin.

Susulan penahanan suspek, polis berjaya menemui dan merampas tiga motosikal, sebilah pisau disyaki digunakan untuk mengugut mangsa, sejumlah rokok yang dicuri, topi keledar dan pakaian digunakan dalam kejadian itu.

Ketua Polis Daerah Kuantan Asisten Komisioner Abdul Aziz Salleh berkata, pihaknya menerima panggilan daripada pekerja kedai serbaneka itu pada jam 4.28 pagi yang memaklumkan premis berkenaan disamun enam lelaki bertopi keledar dan bersenjatakan pisau.

Katanya, kejadian berlaku pada jam 4.15 pagi apabila mangsa yang juga lelaki berusia 18 tahun bersama seorang rakan sekerja warga Nepal berada di dalam premis berkenaan sebelum didatangi lima lelaki memakai topi keledar dan seorang bersenjatakan pisau.

“Seorang lagi suspek menunggu di luar memantau keadaan manakala yang lain meluru masuk ke dalam kedai sebelum memaksa mangsa mengeluarkan wang sambil mengacukan pisau.

“Suspek kemudian menggeledah sebelum melarikan telefon dan beg milik mangsa, sejumlah rokok pelbagai jenama dan wang tunai RM30 serta bergegas melarikan diri menaiki tiga motosikal,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Ogos 2015 @ 5:09 AM